WISMA Putra mengesahkan empat rakyat Malaysia mengalami cedera ringan dalam kemalangan bas pelancong berhampiran Tasik Asvatnet di Norway, Khamis lalu.
Menurutnya, kesemua mereka kini ditempatkan di Hotel Thon di Lofoten.
“Penumpang yang cedera ringan telah ditempatkan ke pusat krisis di dua hotel berdekatan, Hotel Richard di Stokmarknes dan Hotel Thon.
“Empat warga Malaysia disahkan telah dibawa ke Hotel Thon,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu.
Wisma Putra menambah, disebabkan siasatan yang sedang dijalankan, mereka tidak dibenarkan mengakses telefon atau berhubung secara langsung dengan pihak luar.
“Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Malaysia di Stockholm sedang memantau perkembangan kejadian itu dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan warga Malaysia yang terlibat.
“Pasukan konsular Kedutaan Malaysia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Norway untuk menentukan jumlah keseluruhan warga Malaysia dan menyediakan bantuan diperlukan,” katanya.
Jelas Wisma Putra, siasatan sedang dijalankan ditambah dengan keadaan cuaca buruk termasuk salji tebal, angin kencang dan jarak kejadian yang jauh sekitar 1,500 kilometer dari Oslo.
Katanya, ia menimbulkan cabaran logistik dalam mengakses dan memberikan bantuan kepada individu terlibat.
Semalam media melaporkan, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Norway untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kemalangan bas, kira-kira pukul 1.30 petang waktu tempatan pada 26 Disember itu.
Laporan awal menunjukkan penumpang di dalam bas itu termasuk pelancong asing dari China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis dan Ukraine.
Daripada 58 penumpang, tiga kematian dilaporkan dan empat individu mengalami kecederaan serius dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Stokmarknes. – WILAYAHKU