SEMPENA kelahiran album sulung Peluru Cokelat pada 9 November tahun lalu, band Barbarik bakal muncul dengan konsert yang diberi nama Barbarik Pentas Peluru Cokelat.
Konsert ini akan berlangsung pada 28 Jun 2025, 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Meskipun band Barbarik yang dianggotai oleh Muss (vokalis), JoBranko (gitar), Rozaimi (bass) dan Ainol (dram) baru berusia tiga tahun, namun mereka telah sukses dengan empat buah konsert sebelum ini iaitu Barbarik Pentas Keras 1.0 pada tahun 2022, Double Trouble 2: Search X Barbarik (2023), Barbarik Pentas Keras 2.0 (2023) dan Barbarik Pentas Keras 3.0 (2024).
Namun uniknya, konsert Barbarik Pentas Peluru Cokelat, adalah buat julung kalinya, band Barbarik akan mendendangkan barisan lagu daripada album mereka sendiri.
Menurut JoBranko, Barbarik pasti akan menampilkan kelainan setiap kali menjayakan persembahan atau konsert.
“Jika sebelum ini kami mendendangkan lagu-lagu ketika Muss bersama Wings iaitu dalam enam buah album, tetapi kali ini ada buah tangan baharu yang menampilkan identiti band Barbarik itu sendiri.
“Setiap konsert pasti mempunyai perbezaan dan terdapat elemen kejutan pada pembukaan, pertengahan dan penutup konsert. Kami memberi jaminan kepada semua peminat, konsert ini bakal menguji andrenalin anda secara total dari mula hingga akhir.
“Konsert akan berlangsung selama dua jam dan kami akan mendendangkan sekitar 20 buah lagu, termasuk lagu lama dan juga lagu baharu.
“Apa yang boleh kami janjikan adalah sebuah persembahan yang membuatkan penonton tidak berganjak walau sedikit pun,” katanya.
Konsert dibawakan oleh Karri Talk Production dengan penganjur bersama oleh Pentas Barbarik Sdn. Bhd.
Album Peluru Cokelat suntik semangat muzik rock
Berbicara tentang album sulung Peluru Cokelat, band Barbarik yang membawa semangat muzik rock era 1980-an dan 1990-an itu menjelaskan, album berkenaan adalah tanda serius mereka dalam industri muzik.
Walaupun hakikatnya band Barbarik terhasil daripada konsert Barbarik Pentas Keras 1.0 pada 24 Disember 2022. Tujuan konsert tersebut diadakan bagi mengubati kerinduan peminat tegar untuk melihat gandingan antara JoBranko dengan Muss yang mana mereka pernah bergandingan bersama kumpulan Wings dalam enam buah album dari tahun 1996 hingga 2000.
Mereka melaksanakan hutang yang tertunggak kepada peminat kerana Muss tidak sempat menyanyikan walau sebuah lagu pun di dalam album Mr. Barbarik secara langsung kerana Muss tinggalkan Wings tidak lama selepas album Mr. Barbarik dilancarkan pada tahun 2000.
“Tujuan kami menghasilkan album Peluru Cokelat adalah untuk menandakan bahawa kami serius sebagai sebuah band. Bukan sekadar sebuah projek band atau mengambil kesempatan atas sejarah kami.
“Dengan ada material baharu, kami dapat bergerak dan menyusun strategi dengan lebih kemas untuk terus berada dalam radar muzik mainstream tempatan. Jika peminat mendengar album Peluru Cokelat mereka akan tahu inilah identiti band Barbarik, ” jelas JoBranko.
Album Peluru Cokelat yang dirakam pada Mac 2024 menjalani tempoh rakaman selama enam bulan dan menghasilkan sebanyak tujuh buah lagu iaitu Peluru Cokelat, Golok Kayu (featuring Karl Cromok), Didakap Pesona, Kasmaran Selamanya, Nasib Baik, Marcapada, Gelap Nan Terang (instrumental) dan Didakap Pesona (radio edit).
Lagu Peluru Cokelat ciptaan JoBranko dan lirik oleh penulis lirik prolifik Nasir Jani dipilih sebagai tema keseluruhan dan menjadi judul album sulung Barbarik kerana ‘zeit geist’ atau cerminan dekad ini, terkait konflik di bumi Palestin.
Kesemua lagu adalah hasil ciptaan JoBranko, manakala barisan penulis lirik terdiri daripada Nasir Jani, Muss, Bambino, Nuar Botak dan Jo Branko sendiri. Sementara, itu proses mastering dilakukan di Benchmark Mastering oleh Don Bartley di Brisbane Australia.
Album ini juga menampilkan dua orang pemuzik undangan iaitu gitaris ternama Karl Cromok dan pemain keyboard Adi Yamin. – WILAYAHKU