PENCAPAIAN ekonomi Malaysia yang positif pada suku kedua tahun ini disebabkan pelbagai agenda disusun Kerajaan Perpaduan menerusi kerangka Ekonomi MADANI.
Namun ada sahaja pihak yang tidak berpuas hati dan berterusan menuduh kerajaan tidak melakukan apa-apa bagi meningkatkan ekonomi negara.
Tular di laman sosial memperkatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah berjaya menaikkan ekonomi sepanjang pemerintahan beliau malah keadaan rakyat semakin tenat dihimpit dengan kos sara hidup yang tinggi.
Menepis dakwaan tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jika kerajaan tidak melakukan apa-apa maka kadar pertumbuhan negara tidak mungkin mampu mencapai 5.9 peratus suku tahun ini.
“Jika tidak ada pengumuman menerusi Program MADANI Rakyat tak tahu apa perkara positif negara capai. Maka timbul lah pandangan-pandangan negatif dan hasutan, seolah-olah tidak ada apa yang dilakukan kerajaan.
“Kita lihat kejayaan perkembangan ekonomi negara membabitkan kerjasama semua pihak iaitu kerajaan swasta, penjawat awam, rakyat, pekerja, petani, pekebun kecil sehinggalah nelayan.
“Semuanya ini menyebabkan keyakinan pelabur dengan ringgit antara mata wang yang peningkatannya terkuat di rantau kita, alhamdulillah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.
Baru-baru ini, ekonomi Malaysia pada suku kedua 2024 dilaporkan berkembang sebanyak 5.9 peratus mengatasi unjuran awal 5.8 peratus yang diumumkan bulan lalu dan pertumbuhan yang tertinggi sejak suku keempat 2022.
Pertumbuhan tersebut dipacu oleh peningkatan ketara perbelanjaan isi rumah dan pasaran kerja yang kukuh serta sokongan dasar yang lebih meluas. – WILAYAHKU