Berita

Banyak peluang boleh diteroka Malaysia-Republik Kyrgyz

KREDIT foto: Facebook Anwar Ibrahim.
- Diterbit 3 April 2024 10:00 AM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap hubungan antara Malaysia dan Republik Kyrgyz akan lebih akrab pada masa hadapan.

Beliau berkata banyak peluang terbuka untuk diteroka dalam hubungan antara Malaysia dengan negara berkenaan, terutamanya dalam memperkukuh hubungan dagangan dan pelaburan dua hala.

Anwar memaklumkan telah menerima kunjungan daripada Menteri Luar Negeri Republik Kyrgyz, Zheenbek Kulubaev di pejabatnya semalam.

“Saya yakin bahawa lawatan ini akan membuka ruang bagi kolaborasi dan mencetus kerjasama yang lebih substantif antara kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook hari ini.

Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap jemputan Presiden Republik Kyrgyz untuk melawat negara itu pada Mei. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas