Berita

Bantuan Pemakanan Sekolah Menengah YWP bantu pelajar susah

- Diterbit 17 Mei 2024 5:58 PM MYT

PROGRAM Bantuan Pemakanan Sekolah Menengah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mampu mengurangkan masalah pelajar ketiadaan bekalan makanan ke sekolah terutama disebabkan faktor kewangan.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiara Permai, Hafsah Mohd Yusof berkata program ini tidak hanya membantu menyelesaikan masalah tersebut namun ia juga dapat membekalkan sajian makanan bernutrisi kepada pelajar.

“Sejak dahulu lagi, kita sedar bahawa ada sebilangan pelajar yang sebenarnya mengalami masalah kewangan sehingga menyebabkan mereka tidak makan ketika waktu rehat malah tiada duit pun untuk membeli makanan.

“Meskipun tindakan untuk membantu pelajar terbabit ada dilaksanakan, namun apabila program ini dilaksanakan oleh YWP bersama beberapa pihak agensi kerajaan terlibat, ia dapat mengurangkan masalah tersebut.

“Bukan itu sahaja, pelaksanaan program ini juga boleh menjadi salah satu asbab untuk menarik minat pelajar terus hadir ke sekolah selain memastikan mereka sentiasa mendapat bekalan makanan yang mencukupi di sekolah tanpa ada keciciran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Wilayahku selepas menghadiri Taklimat Program Bantuan Makanan YWP Sesi Persekolahan Tahun 2024/2025 di Dewan sekolah, SMK Tiara Permai, hari ini.

Menurutnya, pihak sekolah dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti 20 pelajar dalam kumpulan sasaran untuk menerima bekalan harian secara percuma dengan nilai RM6 bagi setiap pelajar.

“Dari segi nama, kita akan mengenalpasti siapa dan unit kebajikan serta pihak pengurusan akan mengadakan mesyuarat bagi mengetahui mereka yang benar-benar layak.

“Semasa sesi taklimat tersebut, pihak sekolah bersama pihak kantin turut diberi penerangan tentang panduan penyediaan makanan yang mesti dipatuhi mengikut sajian piramid makanan.

“Ia perlu mengandungi karbohidrat, vitamin, protein dan lemak serta pelaksnaaan ini akan bermula pada 1 Jun hingga 17 Januari 2025,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap program tersebut dapat memberi manfaat kepada semua pelajar terlibat dan akan diperluaskan dengan penambahan jumlah pelajar.

Terdahulu, program bantuan pemakanan telah dilaksanakan sejak tahun 2018 di mana ia memanfaatkan pelajar-pelajar golongan B40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pada tahun ini, ia melibatkan seramai 3,000 pelajar sekolah menengah dengan perincian Kuala Lumpur sebnayak 2,150 pelajar serta Putrajaya dan Labuan, masing-masing memanfaatkan sebanyak 425 pelajar. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas