Berita

Bantuan kepada rakyat Myanmar perlu diteruskan

- Diterbit 29 April 2025 2:30 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh sepakat bahawa bantuan kemanusiaan kepada semua rakyat Myanmar perlu diteruskan tanpa sekatan.

“Saya telah bercakap dengan Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam saudara Pham Minh Chinh bagi membincangkan perkembangan terkini dan tindakan bersama ASEAN terhadap keadaan di Myanmar dan tarif perdagangan yang dikenakan Amerika Syarikat.

“Dalam hubungan ini, adalah penting supaya semua pihak meneruskan gencatan senjata bagi memastikan keselamatan pekerja bantuan kemanusian,” ujar beliau di laman Facebook.

Menyentuh isu tarif perdagangan yang dikenakan Amerika Syarikat, Anwar memaklumkan bahawa Malaysia telah menghantar wakil menerusi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam usaha mencapai penyelesaian yang saling menguntungkan lkedua-dua negara.

“Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia memohon pertimbangan Amerika Syarikat supaya Negara-Negara Anggota ASEAN diberi ruang menggunakan mekanisme hubungan dua hala dalam mencapai penyelesaian yang baik bagi perkara tarif timbal balas ini.

“Malaysia komited untuk terus memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa berlandaskan prinsip saling menghormati, kerjasama, dan kesejahteraan bersama.

“Semoga segala usaha ini membuahkan hasil yang membawa keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat di seluruh rantau,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas