AHLI Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata di peringkat parlimennya pihaknya akan mengikut perancangan dan pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar-pelajar sekolah.
Beliau berkata pihaknya juga akan membuat libat urus dengan pihak sekolah terutama BAP yang diterima secara tunai.
“Ini untuk pastikan sekolah yang terima secara tunai diagih dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025.
Beliau pada tahun ini ada juga BAP akan dikreditkan ke dalam akaun pelajar atau ibu bapa pelajar itu sendiri.
“Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ingatkan 100 peratus mesti sampaikan BAP kepada pelajar.
“Untuk Parlimen Wangsa Maju ada 10 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah,” katanya.

Zahir juga berharap bantuan BAP yang diberikan kepada pelajar tingkatan 6 dapat membantu pelajar tersebut dalam persiapan awal persekolahan.
“Harap digunakan kepada pelajar itu sendiri dan sumbangan ini dibelanjakan sebaiknya,” katanya.
Agihan BAP ditambah baik menerusi pengkreditan terus ke akaun pelbagai bank waris atau pelajar supaya ia lebih pantas, cekap dan selamat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ia dilakukan selepas mengambil kira maklum balas ibu bapa mengenai pengkreditan BAP yang terhad antara satu atau dua bank sahaja, termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN), sebelum ini.
Penyaluran ke semua sekolah kendalian Kementerian Pendidikan dilaporkan sudah selesai pada 10 Januari lalu, membabitkan jumlah bernilai RM723.17 juta bagi manfaat 4.82 juta murid.
BAP yang diperkenalkan kerajaan pada 2012, bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima, diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam, bermula sesi 2025/2026.
Bantuan bernilai RM150 itu dilaporkan bakal memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar Tingkatan Enam dengan kerajaan menanggung implikasi kewangan kira-kira RM15 juta. – WILAYAHKU