TAHUN 2025 bakal menjadi era baharu buat dunia sukan berbasikal negara dengan memfokuskan ke arah meyakinkan penaja bagi menjamin kecemerlangan khususnya untuk skuad lebuh raya kebangsaan.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata skuad lebuh raya perlu dibantu dengan segala cara selepas berjaya mencipta beberapa kejayaan termasuk memenangi emas pada Sukan SEA 2023 Kemboja.
Bagaimanapun, beliau mengakui PKBM sukar mendapat kepercayaan penaja bagi meneruskan rentak kegemilangan skuad lebuh raya kebangsaan yang pernah muncul pasukan terbaik Asia pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 1999.
“Saya difahamkan skuad lebuh raya Thailand menerima banyak penajaan daripada syarikat swasta negara itu, jadi kenapa perkara yang sama tidak berlaku di Malaysia?
“Pada mesyuarat EXCO pertama yang dipengerusikan oleh saya, kita bincang secara kritikal berkaitan perkara ini. Kita mahu ubah persepsi bahawa PKBM ialah sebuah persatuan yang bermasalah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) berharap akan ada penaja yang sudi tampil membantu skuad lebuh raya kebangsaan dalam persediaan menghadapi Sukan SEA 2025 Thailand.
Beliau berkata ketika ini skuad lebuh raya berlatih di dalam negara dan tidak menerima bantuan kewangan yang banyak seperti diterima skuad berbasikal trek negara.
Sebagai rekod, skuad lebuh raya menerima penajaan daripada syarikat terkemuka pada 1998 dan diteruskan dengan penajaan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), namun sejak akhir tahun 2013 PKBM tidak lagi menerima penajaan atau bantuan kewangan khususnya daripada KBS.
Sementara itu, Mesyuarat EXCO PKBM baru-baru ini itu turut merombak beberapa biro dalam usaha memastikan persatuan berkenaan kekal relevan sebagai penyumbang tradisi pingat pada Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA.
Amarjit mengekalkan kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Trek dan Tatatertib manakala Timbalannya Mazlan Md Jail mengetuai Jawatankuasa Antidoping.
Naib Presiden PKBM, Norazman Abu Samah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Lebuh Raya manakala bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Cycling for All dan Pindaan serta Tugas-Tugas Khas. – WILAYAHKU