SERAMAI 23 peserta menyertai Program Malaysia MADANI: Bengkel Kuasai Asas Penerbitan Dokumentari Pendek yang diadakan baru-baru ini.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Suara Kreatif Kesenian Generasi Muda (PSKKGM), Ella Royantty Ruslan, para peserta terlibat terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk sektor perubatan, pendidikan, seni dan pelajar universiti.
“Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik asas penghasilan dokumentari pendek yang mampu memukau penonton. Peserta juga diajar bagaimana menerapkan idea dan bahan cerita ke dalam skrip untuk menghasilkan naratif yang berkesan.
“Program ini berjaya melahirkan generasi baharu pembuat dokumentari, sekali gus menyemarakkan industri perfileman negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Ella berkata, selain teori, bengkel ini turut memberi peluang kepada peserta untuk melaksanakan tugasan amali.
“Peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan dan dibawa ke Muzium Telekomunikasi bagi menjalani penggambaran dokumentari bertajuk Garisan Masa Kuala Lumpur: Muzium Telekomunikasi.
“Dokumentari yang bertemakan pemuliharaan sejarah dan pendidikan, menggambarkan evolusi teknologi komunikasi dari era prakemerdekaan hingga kini, menggunakan skrip yang ditulis sendiri.
“Setiap kumpulan berjaya menghasilkan dokumentari pendek yang memanfaatkan visual menarik, suara latar dan muzik latar. Dokumentari mereka mampu menarik perhatian penonton dari pelbagai lapisan masyarakat,” ujarnya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Seni Halus dalam Bidang Filem dan Televisyen dari Academy of Art University, San Francisco, California.
Terdahulu bengkel percuma tersebut diadakan di Kampus Kota, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan mendapat sokongan Pejabat Perdana Menteri dan Muzium Telekomunikasi.
Turut hadir pada majlis penutup ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman; Penasihat PSKKGM, Yunos Md Dom serta Ketua Unit Seni dan Hiburan UniKL, Dr Rosli Arshad. – WILAYAHKU