Berita

Bantu belia dalam F&B

MOHAMED AZLAN (kanan) menerima Anugerah Khas Presiden MBWP kategori Pengamal Media. Foto: BERNAMA
- Diterbit 9 Disember 2024 3:04 PM MYT

MEDAN Selera Singgang Madani@Batu Bata, Titiwangsa akan diserahkan kepada Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) sebagai usaha untuk meningkatkan jumlah penyertaan golongan berkenaan dalam sektor perniagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa ketika mengumumkan perkara itu berkata beliau telah berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan secara prinsipnya telah bersetuju untuk menyerahkan kawasan medan selera Singgang Madani atau dikenali sebagai Medan Selera Damai Titiwangsa untuk dimajukan oleh MBWP.

“Saya telah bercakap dengan Presiden MBWP dan minta segera berikan kertas kerja dan bentangkan kepada saya dan Datuk Bandar,” katanya ketika berucap pada Malam Apresiasi Penggiat Belia Wilayah Persekutuan anjuran MBWP di ibu negara pada Ahad.

Terdahulu, Wartawan Eksekutif Akhbar Wilayahku, Mohamed Azlan Ahmad Zambry turut menerima Anugerah Khas Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan kategori Pengamal Media.

Hadir merasmikan, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Presiden MBWP, Khairul Rizam Abu Samah; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Sosio Ekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Parang Abai @ Thomas; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah & Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Senior Assistant Commissioner (SAC), Ravinder Singh A/L Sarban Singh; Pengarah Jabatan Belia & Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabran Abd Bahar dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Izzat Afifi Abdul Hamid.

Menjelas lanjut, Zaliha berkata langkah menyerahkan medan selera berkenaan kepada MBWP untuk diuruskan secara tidak langsung akan dapat membantu para belia terlibat dengan perniagaan khususnya sektor makanan dan minuman (F&B).

“MBWP boleh memikirkan bagaimana untuk memeriahkan kawasan tersebut nanti supaya boleh menarik lebih ramai pengunjung termasuklah golongan belia untuk terlibat dengan perniagaan,” katanya.

Beliau yang juga Penaung MBWP berkata, sebagai pertubuhan gabungan belia, MBWP harus menumpukan kepada pemerkasaan dan latihan kepada ahli yang lebih inklusif untuk golongan belia khususnya berumur dari 18 hingga 30 tahun.

“Usaha ini bukan sahaja selari dengan dasar MBM, bahkan ia akan memastikan MBWP kekal relevan sebagai platform belia yang mampu membawa dan mengangkat aspirasi belia di Wilayah Persekutuan,” katanya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas