Berita

Bantu baiki taraf hidup mahasiswa universiti

- Diterbit 23 Oktober 2024 11:07 AM MYT

SERAMAI 5,000 mahasiswa teruja menghadiri sesi In-person with Doc Zam yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Sahibi berkata pihaknya berbesar hati menerima kunjungan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Abdul Kadir dalam sesi tersebut bersempena Minggu Destini Siswa dan menyantuni para mahasiswa dalam usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenali mahasiswa dengan lebih mendalam.

“Sesi interaksi ini membawa seribu satu tauladan kepada mahasiswa terutamanya kepada mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke menara gading. Dalam ucapan beliau, Datuk Seri Zambry atau lebih mesra dikenali sebagai Doc Zam, berkongsikan mengenai kisah hidup beliau yang berasal dari sebuah keluarga nelayan di Perak.

“Namun berkat keazaman dan kesungguhannya, beliau berjaya meneruskan pelajaran ke Amerika Syarikat dan memperoleh segenggam ijazah doktor falsafah (PhD). Beliau juga turut berkongsi kepada mahasiswa bahawa kesukaran yang dihadapinya ketika di usia muda menjadi pemangkin kejayaannya dan para mahasiswa juga seharusnya mengambil cabaran dan dugaan sebagai batu loncatan ke arah kejayaan,” katanya seramai 40,000 mahasiswa dari semua kampus cawangan UiTM turut mengikuti sesi tersebut secara siaran langsung.

Mohd Sazili berkata daripada persepsi seorang mahasiswa, perkongsian Doc Zam mengenai kisah hidup beliau amatlah relevan dengan kehendak zaman.

“Pemikiran dan aura positif sangatlah penting dalam menangani sebarang masalah. Mengingati Allah SWT dalam semua keadaan amat membantu dalam meningkatkan semangat kerohanian dan membina kekuatan mental untuk mengatasi cabaran yang dihadapi. Beliau juga turut menggalakkan mahasiswa untuk mengejar cita-cita mereka dengan moto never say die meskipun terdapat halangan atau kekangan seperti kekangan kewangan dan sebagainya kerana ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, penglibatan KPT dalam usaha membantu pelajar yang memerlukan amat penting untuk memperbaiki taraf hidup mahasiswa.

“Misalnya, UiTM menghulurkan bantuan kepada pelajar UiTM yang mana ibu bapanya terpaksa menggadaikan tanah demi membayar yuran pengajian. Justeru, mahasiswa akan lebih yakin terhadap keprihatinan KPT dan komitmen UiTM dalam membantu mahasiswa, khususnya mereka yang berasal dari kawasan luar bandar, untuk menuntut ilmu dan mengubah taraf hidup mereka melalui ilmu,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas