Berita

Bank Negara nafi lulus sebarang lesen, aktiviti Quantum Metal

- Diterbit 22 Januari 2024 12:25 PM MYT

BANK Negara Malaysia (BNM), menyatakan sebarang dakwaan bahawa aktiviti Quantum Metal Sdn. Bhd. (QMSB) diluluskan dan dilesenkan olehnya, secara langsung atau tidak langsung, adalah tidak benar.

BNM dalam satu kenyataan berkata pihaknya ingin menjelaskan beberapa dakwaan dan salah nyata fakta yang tular menerusi domain awam berhubung dengan urusan QMSB.

Tambahnya, QMSB merupakan institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).

“Syarikat tersebut berurusan dengan logam atau batu berharga, iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA bersama-sama dengan sektor perniagaan dan profesion bukan kewangan yang ditentukan yang lain seperti peguam, akauntan, syarikat amanah dan setiausaha syarikat.

“Sebagai sebuah institusi pelapor QMSB dikehendaki melaksanakan langkahlangkah pencegahan untuk mengelakkan aktiviti institusi berkenaan daripada disalahgunakan sebagai saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau aktiviti pembiayaan keganasan,” katanya hari ini.

Walau bagaimanapun menurut BNM, dengan status QSMB sebagai institusi pelapor tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaannya, seperti produk dan dagangan emas, adalah didaftarkan, diluluskan atau dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM.

Jelasnya, BNM turut mengambil maklum mengenai pelbagai dakwaan menerusi media sosial bahawa semua transaksi masuk dari luar negara memerlukan kelulusan dan pengesahan BNM berhubung dengan AMLA.

“Pihak BNM ingin menjelaskan bahawa sebarang aliran masuk dana ke dalam negara, kecuali untuk tujuan peminjaman luar pesisir yang melebihi had tertentu yang diperuntukkan di bawah dasar pertukaran asing, tidak memerlukan pengesahan dan kelulusan daripada BNM terlebih dahulu.

“Tiada sesiapa pun yang boleh menyalahgunakan nama dan urusan surat-menyurat BNM sehingga boleh mengundang salah faham bahawa produk atau perkhidmatan mereka diluluskan oleh BNM.

“Dakwaan mempunyai kaitan dengan BNM oleh mana-mana entiti atau individu tidak seharusnya dijadikan satu-satunya pertimbangan bagi menentukan kesahihan perniagaan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, BNM ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila membuat keputusan pelaburan.

“Sebarang aktiviti kewangan yang disyaki dilakukan tanpa kebenaran hendaklah dilaporkan kepada pihak penguat kuasa undang-undang yang berkaitan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas