BANK digital di Malaysia dilihat berpotensi menjadi pelengkap kepada institusi kewangan sedia ada dalam menyediakan pembiayaan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), terutamanya dalam menawarkan akses kewangan yang lebih fleksibel dan mudah diakses.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), bank digital dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan matlamat menyokong segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, termasuk PMKS, seperti yang dinyatakan di bawah Rangka Kerja Pelesenan untuk Bank Digital (Licensing Framework for Digital Banks).
“Bank digital menggunakan teknologi terkini dalam setiap proses perbankan, membolehkan mereka menawarkan penyelesaian kewangan yang lebih sesuai kepada PMKS.
“Antara kelebihan utama ialah proses pembukaan akaun secara dalam talian yang lebih mudah dan cepat, permohonan pinjaman yang ringkas serta penyaluran kredit yang lebih pantas,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

MoF berkata setakat ini, dua bank digital telah menawarkan produk pembiayaan khusus untuk PMKS, memberikan lebih banyak pilihan kepada usahawan dalam mendapatkan akses modal pusingan.
“Kerajaan menegaskan bahawa institusi kewangan sedia ada seperti SME Bank dan Agrobank masih memainkan peranan utama dalam menyokong keperluan pembiayaan PMKS,” katanya.
MoF turut memaklumkan bahawa jumlah pinjaman daripada institusi kewangan kepada PMKS telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun terakhir dan kini merangkumi lebih 50 peratus daripada jumlah pinjaman perniagaan.
“Setakat Disember 2024, pertumbuhan pinjaman kepada PMKS terus berkembang pada kadar 8.1 peratus, lebih tinggi berbanding pinjaman bukan PMKS yang mencatat pertumbuhan 2.2 peratus,” jelasnya.
Selain itu, katanya, kerajaan bersama BNM dan sektor kewangan terus membangunkan penyelesaian pembiayaan inovatif untuk PMKS.
“Ini termasuk, iTEKAD iaitu program pembiayaan sosial yang menggabungkan modal awal, pembiayaan mikro dan pembangunan kapasiti bagi usahawan mikro berpendapatan rendah yang setakat ini, 15 institusi kewangan dan lebih 100 rakan pelaksana telah membantu 9,091 PMKS melalui inisiatif ini.
“Selain itu, Skim CAKNA yang merupakan instrumen pembiayaan invois bagi pembekal kerajaan dan sejak tahun 2021, skim ini telah menyediakan pembiayaan tanpa hutang sebanyak RM919 juta kepada 305 pembekal PMKS, dengan penyertaan lapan institusi kewangan merangkumi semua kementerian dan agensi negeri,” katanya.
Menurut MoF, meskipun bank digital dilihat sebagai pelengkap dalam ekosistem kewangan, peranannya masih terhad kerana industri ini berada dalam fasa asas (foundational phase) dan tertakluk kepada had saiz aset RM3 bilion bagi setiap bank digital.
“Pada masa hadapan, sinergi antara bank digital dan institusi kewangan sedia ada dijangka memperkukuh akses pembiayaan kepada PMKS, sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif,” katanya.-WILAYAHKU