JUMLAH taburan hujan yang tinggi dan hujan lebat berterusan dikenal pasti sebagai punca 29 kawasan di ibu kota ditenggelami banjir kilat pada Isnin.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan kawasan yang terlibat adalah Jalan Yaakob Latif, Jalan Ampang, Underpass Jalan Pudu, Jalan Maharajalela, Jalan Cheras, Jalan Melaka, Terowong Chan Show Lin, Lebuhraya KL-Seremban, Jalan Tun Perak, Bulatan Dataran Pahlawan, Jalan Permaisuri, Pudu Ulu, Jalan Padang Tembak, Kampung Periuk, Jalan Semarak, Jalan Air Panas, Jalan Cochrane, Terowong Jalan Tun Razak, Jalan Kuchai Lama, Kampung Pasir, Lorong Kiri Keramat, Lebuhraya Kesas, Jalan Kuching (Bulatan Segambut), Jalan Brunei, Jalan Petaling, Jalan Raja Chulan, Jalan Pahang, Jalan Mahameru dan Jalan Bulan.
“Daripada 29 kawasan yang terlibat, 25 kawasan telah pun surut dalam masa 30 hingga 45 minit manakala empat lagi kawasan banjir yang lain telah surut dalam tempoh satu hingga tiga jam iaitu di Underpass Bulatan Pudu, Terowong Jalan Tun Razak, Kampung Pasir dan Kampung Periuk.
“Pihak kami telah mengerah kakitangan daripada pelbagai jabatan dalaman seperti Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Pengangkutan Bandar, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal & Elektrikal, Pejabat Cawangan bersama agensi luar seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Alam Flora, Majlis Perwakilan Penduduk dan badan bukan kerajaan untuk turun ke lapangan bagi memberi bantuan awal, melancarkan trafik dan melakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya sambil menambah sebanyak tujuh trak tunda telah dikerahkan untuk mengalihkan kenderaan yang terkandas.

Di samping itu, DBKL memberitahu pihaknya telah membuat pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang sekitar Kuala Lumpur melalui Kuala Lumpur Command and Control Center.
“Dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di SJK (T) Saraswati bagi menempatkan 560 orang mangsa banjir (145 keluarga) di Kampung Pasir manakala 128 orang mangsa banjir di Kampung Periuk telah ditempatkan di PPS Dewan Sultan Sulaiman.
“Pihak DBKL turut meninjau ke tiga kawasan tanah runtuh iaitu 1/27 Taman Gembira, Seksyen 6, Wangsa Maju dan Jalan Hang Tuah 4. Kerja-kerja susulan akan dilakukan dalam kadar segera,” tambahnya.
DBKL juga telah mengenal pasti 12 lokasi pokok tumbang dan dahan serkah menerusi siasatan di tapak dan aduan awam.
“Antara lokasi yang terlibat adalah di Blok 28, Sri Melaka, Masjid Abu Ubaidah, Jalan Pudu Lama, Jalan Teluk Pulai, Jalan Kuchai 2, Jalan Desa Utama, PPR Sri Alam, Miharja, Lebuh Ampang, Jalan Kuari, 64 Taman Midah Cheras dan Jalan Siakap,” katanya. – WILAYAHKU