Berita

Bangunan gajah putih di Labuan berusia 26 tahun bakal diroboh

SETELAH terbengkalai sejak tahun 2007, Hotel Labuan bakal dirobohkan.
- Diterbit 26 Oktober 2023 9:15 PM MYT

Oleh KHAIRUL IDIN

CADANGAN merobohkan Hotel Labuan yang terbengkalai selama 26 tahun bagi memberi laluan kepada pembangunan sekali gus meningkatkan ekonomi mendapat sokongan majoriti penduduk di pulau ini.

Penjawat awam, Saini Mastah, 57, berkata cadangan itu dinantikan penduduk memandangkan bangunan tersebut sudah lama terbiar dan menjejaskan pemandangan.

“Sebagai penduduk di sini bersetuju dengan langkah diambil Perbadanan Labuan (PL) dan diharapkan ia akan menjadikan kenyataan. Bagi cadangan pembangunan baharu, semoga ia memberi peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya ketika ditemui Wilayahku.

Marianieh Ismail, 31, pula turut menyokong usaha PL tersebut untuk menaikkan semula imej Labuan di dalam dan luar negara.

“Cadangan merobohkan hotel itu merupakan satu kebaikan untuk memberi laluan kepada pembangunan baharu dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Walaupun pernah menjadi lambang kebanggaan pulau bebas cukai ini, tetapi sejak ditutup bangunan itu menjadi gajah putih yang tidak memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

“Harapan saya supaya pembangunan baru yang bakal dibina nanti mampu merancakkan lagi sosio ekonomi Labuan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan India Labuan, Datuk Dahlif Sigh menyifatkan ia sebagai usaha membuka pintu kepada pemaju bagi memberi nafas baharu di kawasan tersebut.

Pada masa sama katanya, ia turut memberi laluan kepada pembangunan komersial yang akan membawa manfaat ekonomi kepada pulau itu.

“Sebelum ini, PL membuka tender kepada pemaju untuk mengambil alih bangunan itu namun tidak berjaya.

“Untuk memajukan semula kawasan itu, perobohan bangunan harus dilakukan secepat mungkin supaya ia boleh dibangunkan semula dengan pembangunan yang memberi manfaat ekonomi” katanya.

Dahlif berkata Dewan Perniagaan India Labuan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada PL untuk meningkatkan imej serta ekonomi pulau bebas cukai itu.

“Cadangan saya, berdasarkan lokasi yang strategik dan sesuai jika dibina sebuah hotel bertaraf lima bintang. Namun terserah kepada PL untuk menentukan keputusan tersebut,” katanya.

Sabtu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail memaklumkan pihaknya bakal melaksanakan perobohan Hotel Labuan untuk memberi laluan kepada pembangunan baharu.

Beliau berkata lembaga pengarah pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memberi lampu hijau untuk merobohkan hotel 10 tingkat berkenaan yang dijangka akan dilaksanakan selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Kami akan membuka tender secepat mungkin sebaik sahaja mendapat anggaran peruntukan untuk proses perobohan itu,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas