PUSAT Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Kuala Lumpur yang pertama di Malaysia dan Asia Pasifik merupakan usaha sama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Urbanice Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata Pusat SDG tersebut turut mendapat pengiktirafan United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat).
“Pelebaran fungsi dan ruang Pusat SDG Kuala Lumpur ini adalah sebagai salah satu inisiatif DBKL untuk melengkapkan ekosistem Pusat SDG yang tidak hanya tertumpu kepada ruang pameran sahaja tetapi turut mempunyai pelbagai ruang yang menyokong usaha merakyatkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
“Pembangunan Pusat SDG baharu itu dijangka siap dalam tempoh tiga ke empat tahun dan pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Jabatan Warisan Negara untuk memastikan proses pemuliharaan bangunan warisan di situ dapat dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi turun padang ke tapak cadangan Pusat SDG, Bangunan Kuala Lumpur City Gallery (KLCG), baru-baru ini.
Bangunan KLCG iaitu Bangunan Pustaka Peringatan Kuala Lumpur dicadangkan sebagai lokasi baharu bagi Pusat SDG Kuala Lumpur dalam usaha DBKL melebarkan lagi fungsi dan ruang Pusat SDG yang sedia ada.
Menurut Zaliha, pelebaran fungsi dan ruang Pusat SDG Kuala Lumpur ini adalah sebagai salah satu inisiatif DBKL untuk melengkapkan ekosistem Pusat SDG yang tidak hanya tertumpu kepada ruang pameran sahaja.
“Ia juga turut mempunyai pelbagai ruang yang dapat menyokong usaha-usaha untuk merakyatkan Matlamat Pembangunan Mampan (localizing the SDGs) melalui pelbagai aktiviti yang dapat dirangka di ruang bangunan KLCG yang lebih luas,” jelasnya.
Sementara itu, Zaliha turut mencadangkan pendidikan berteraskan SDG wajar diperkenal di peringkat sekolah.
Tambah Zaliha, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan subjek SDG ini boleh diajar di sekolah seluruh negara.
“Setakat ini silibus SDG memang sudah ada di sekolah-sekolah, namun ia dalam skala kecil, jadi kita akan berbincang terus bersama pihak KPM.
“Kita mahu menjadikan subjek SDG secara formal atau ‘informal’ di mana akhirnya anak-anak boleh mengetahui kefahaman dan pendidikan kelestarian,” katanya. – WILAYAHKU