SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mencadangkan agar kerajaan membangunkan pusat data bagi menjamin bekalan air yang berterusan dan lestari di negara ini.
SPAN memaklumkan pembangunan pusat data secara teratur dan lestari yang mengambil kira aspek penyahkarbonan dalam mencapai sasaran sifar bersih dapat menjamin perkembangan ekonomi serta kesejahteraan negara pada masa hadapan.
“Pusat data termasuk pusat data berskala besar telah mula dibangunkan secara pesat berikutan perkembangan ekonomi digital serta teknologi tinggi selaras dengan pembangunan aplikasi 5G, kecerdasan buatan (AI), penyimpanan awan, perlombongan BitCoin, perbankan digital atau komersial dan sebagainya.
“Trend ketersediaan sumber air sedang mengalami perubahan ketara akibat perubahan iklim sehingga memberi tekanan kepada keseluruhan operasi pembekalan air bersih oleh operator.
“Susulan itu, kami mencadangkan pembangunan pusat data perlu mengambil kira faktor ketersediaan sumber air mentah di kawasan pembangunan, pengurangan kebergantungan kepada bekalan air terawat dan kebolehlaksanaan penggunaan sumber air alternatif serta ketersediaan infrastruktur sistem bekalan air dan pelaburan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di samping itu, SPAN turut mencadangkan beberapa langkah jangka panjang bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air dalam kalangan pemaju pusat data bagi tempoh lima tahun, antaranya penggunaan air pulih guna, teknologi penyejukan efisyen dan sistem pengumpulan air hujan.
“Bagi menguruskan permintaan bekalan air antara pengguna domestik dan pusat data, kami menyarankan agar kerajaan melaksanakan beberapa dasar secara bekerjasama dengan pelbagai agensi.
“Antara dasar yang dicadangkan ialah Kerajaan Persekutuan perlu menetapkan dasar pengoperasian pusat data secara mampan, Kerajaan Negeri perlu memastikan kecukupan sumber air mentah sebelum meluluskan pembangunan pusat data serta operator bekalan air perlu melakukan perancangan pembangunan infrastruktur air bagi memastikan bekalan air mencukupi kepada semua pengguna.
“Dengan langkah-langkah ini, pusat data dapat mengurangkan penggunaan air dan meningkatkan keberkesanan operasi mereka,” katanya.
Dalam masa sama, SPAN memaklumkan pihaknya sedang meneliti segenap aspek serta dalam proses pembangunan mekanisme serta penetapan peraturan berkaitan dan akan dikongsikan setelah dimuktamadkan. – WILAYAHKU