BANDUAN reman yang melarikan diri pada 18 September lalu semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sungai Buloh, Selangor sudah ditahan semula.
Perkara itu disahkan Jabatan Penjara Malaysia melalui kenyataan media pada Isnin.
Menurut jabatan tersebut, tangkapan dilakukan oleh pegawai penjara pada pukul 11 pagi ini di Terminal Bas Rapid Kuantan, Pahang.
“Ia dilakukan berdasarkan siasatan dan maklumat yang diterima daripada orang awam.
“Banduan reman tersebut telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, berdasarkan syor Lembaga siasatan, Jabatan Penjara akan mengambil tindakan tegas dan segera kepada mana-mana individu yang didapati cuai dalam menjalankan tugas hingga menyebabkan berlakunya kejadian kelarian banduan.
Jabatan Penjara Malaysia juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam serta mana-mana pihak yang telah membantu sepanjang operasi pencarian ini dijalankan.
Pada 18 September lalu, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 3.56 petang.
Banduan terbabit yang berusia 27 tahun disyaki melarikan diri selepas didapati tiada di katilnya di hospital berkenaan.
Dia mempunyai lapan rekod membabitkan kes jenayah serta kesalahan narkotik. – WILAYAHKU