BALAI Seni Negara menganjurkan Pameran Hanya Satu: ‘NIYAT’, bermula 25 Disember hingga 19 Februari ini menampilkan Dhan Illiani, seorang pengkarya muda aktif dari kolektif seni tempatan KolmeGlu yang semakin mekar dalam industri seni negara.
Balai Seni Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ‘NIYAT’ merupakan pameran keenam dalam Pameran Hanya Satu atau ‘Single’ yang merupakan ruangan berkarya dan pelantar provokasi idea sekali gus memberi penghormatan serta pengiktirafan kepada pelukis kontemporari muda.
“‘NIYAT’ adalah frasa daripada ‘Niat’ dalam Bahasa Melayu dan ‘Niyyah’ dalam Bahasa Arab, kedua-duanya mempunyai persamaan makna tersurat dan tersirat. Perkataan ini juga merupakan nama timangan pengkarya Dhan Illiani.
“Seniman ini bukan hanya seorang seniman multidisiplin, malah merupakan seorang pemain hoki ais kebangsaan yang sedang bersiap sedia untuk ke Sukan SEA pada 2025. Satu daripada ‘NIYAT’nya adalah untuk mendorong pemahaman terhadap hoki ais, sukan ‘niche’, dalam kalangan orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pameran percuma ini juga menampilkan program sokongan menggabungkan seni dan sukan dalam sebuah persembahan seni bertajuk ‘Niyat Hoki’.
“Persembahan ini memperlihatkan rakan sepasukannya dalam hoki, menyorot disiplin dan proses bersama antara kedua-dua bentuk ekspresi. Walaupun kelihatan bertentangan, seni dan sukan memiliki hubungan nyata dan tidak nyata yang tidak pernah terlihat oleh masyarakat umum.
“Inspirasi persembahan seni ini dipetik daripada pelbagai reaksi, tanggapan dan pandangan masyarakat mengenai sukan melibatkan wanita muda.
Maklumat lanjut mengenai pameran ini boleh didapati menerusi laman sesawang www.artgallery.gov.my dan media sosial rasmi Balai Seni Negara. – BERNAMA