SEBUAH balai raya yang dibina di bandar IOI, Segamat dengan kos sebanyak RM150,000 menggunakan peruntukan Parlimen Sekijang sedia untuk digunakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang juga merupakan Ahli Parlimen Sekijang berkata prasarana tersebut boleh dimanfaatkan oleh rakyat.
“Alhamdulillah, pembinaan telah pun selesai cuma saya ada bincang untuk tambah dan besarkan sikit lagi untuk lebih selesa. Insya-Allah peruntukan tahun depan pula,” katanya di Facebook.
Sementara itu, Zaliha berharap agar balai raya tersebut dapat menjadi platform merapatkan hubungan antara komuniti di Bandar IOI.
Beliau meminta agar dijaga kemudahan itu untuk manfaat bersama.
Menurutnya pada sesi penyerahan kunci balai raya tersebut, beliau berkesempatan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 20 orang penerima berbangsa India dalam kalangan keluarga B40.
“Semoga bantuan ini serba sedikit meringankan beban mereka dalam menyambut Deepavali.
“Terima kasih kepada Majlis Perbandaran Segamat selaku agensi pelaksana kerana memudahkan urusan pembinaan balai raya ini,” katanya. – WILAYAHKU