SEMPENA Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, seramai 50 anggota Pusat Koreksional Labuan (PKL) dan ahli keluarga menjayakan program ibadah korban anjuran Badan Kebajikan Islam Penjara (BAKIP) yang diadakan di perkarangan kuarters blok Rancha-Rancha, PK Labuan.
Sebanyak tiga ekor lembu sempena program korban dan akikah tersebut diagihkan kepada kakitangan beragama Islam sementara yang bukan Islam pula menerima sumbangan daging daripada Sitta Farm.
Menurut Penolong Komisioner Penjara (PKP), Kalbin Mohd Said, program tersebut bertujuan mendidik kakitangan PKL tentang peristiwa korban Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS.
“Ia mengingatkan tentang hikmah dan ganjaran yang akan diperolehi apabila melaksanakan ibadah korban selain memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga dan keluarga PKL,” ujarnya.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Suami Isteri Anak Pegawai (PERSIAP) PK Labuan, El Lizah Perdes Nelson.
Kalbin turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada semua kakitangan serta ahli keluarga PKL dalam menjayakan program ketiga anjuran BAKIP bertemakan Memupuk Perpaduan Melalui Ibadah Korban itu. -WILAYAHKU