SERAMAI 15 bakal Pesara Perbadanan Labuan (PL) mengikuti kursus pra pesaraan bagi membuka peluang dan pendedahan terhadap ilmu keusahawanan sebagai persediaan menceburi bidang baharu selepas bersara kelak.
PL berkata penganjuran kursus selama dua hari itu diadakan di Pulau Pinang bertujuan memberikan pendedahan kepada kakitangan yang bakal bersara menceburi bidang usahawan dan pertanian.
“Dengan adanya sesi lawatan sambil belajar dan perkongsian ilmu ini, para kakitangan yang mengikuti kursus ini mendapat perkongsian ilmu bersama beberapa usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berjaya.
“Mereka juga berpeluang menambah ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang pertanian melalui taklimat yang telah diberikan oleh Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan, Seri Pulau khususnya dalam kaedah penanaman fertigasi, hidroponik, penanaman cendawan dan kelebihan pertanian organik,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya, selari dengan aspirasi pengurusan PL yang sentiasa menitikberatkan kepentingan kakitangannya, penganjuran itu merupakan langkah proaktif PL sebagai persediaan awal kepada kakitangan sebelum melangkah ke alam persaraan.
“Ini adalah usaha PL untuk melihat kakitangan yang bakal bersara wajib agar terus maju dan Ia juga sebagai tanda penghargaan atas jasa bakti dan perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang mereka berkhidmat di PL,” katanya. – WILAYAHKU