SEMUA bakal haji diwajibkan mengambil suntikan vaksin meningococcal selaras dengan ketetapan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Kementerian Kesihatan (KKM) memberitahu, vaksin COVID-19 dan vaksin influenza pula diwajibkan kepada kumpulan sasar tertentu.
Menurutnya, Tabung Haji (TH) telah memaklumkan keperluan vaksin COVID-19 dan vaksin influenza adalah kepada bakal haji berusia 65 tahun dan ke atas serta individu yang dikategorikan berisiko tinggi semasa pemeriksaan kesihatan.
“Bakal haji boleh mendapat akses terhadap vaksinasi dengan lebih mudah dan menyeluruh daripada fasiliti kesihatan awam dan swasta seluruh negara hasil kerjasama bersepadu antara KKM dan TH.
“Mereka yang berusia 65 tahun ke atas serta individu yang dikategorikan berisiko tinggi semasa pemeriksaan kesihatan boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih mengikut janji temu yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
KKM menambah, bagi memastikan kelancaran program, senarai 247 klinik kesihatan telah dikenal pasti di seluruh negara boleh diakses melalui aplikasi MySejahtera atau laman rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my.
Katanya, janji temu bagi vaksin COVID-19 boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera bermula 14 Februari dan individu boleh mendapatkan suntikan bermula 17 Februari.
“Notifikasi peringatan janji temu juga akan dihantar melalui aplikasi MySejahtera sehari sebelum tarikh janji temu.
“Bakal haji yang bukan dalam kumpulan sasar boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara sukarela di fasiliti kesihatan berkaitan setelah mendapat konsultasi daripada pegawai perubatan,” katanya.
Jelas KKM, selaras dengan Program Imunisasi Influenza Kebangsaan yang diumumkan baru-baru ini, bakal haji warganegara Malaysia berusia 60 tahun ke atas yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih.
Janji temu katanya, boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera mulai 14 Februari, dengan tarikh janji temu akan diberikan bermula 18 Februari.
“KKM akan terus bekerjasama dengan TH dalam memastikan pelaksanaan Perkhidmatan Vaksinasi Bakal Haji 1446H/2025M berjalan dengan lancar.
“Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan maklumat terkini dan panduan berkaitan vaksinasi kepada bakal haji boleh diajukan kepada KKM atau TH,” katanya. – WILAYAHKU