Berita

Baik Punya Ah Long wakili negara ke Festival Filem Antarabangsa Rotterdam

- Diterbit 3 Januari 2025 11:40 AM MYT

FILEM Baik Punya Ah Long, arahan Datuk Afdlin Shauki dipilih mewakili negara ke Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) yang bakal berlangsung dari 30 Januari hingga 9 Februari.

Filem terbitan Astro Shaw, Golden Screen Cinemas dan Petra Vision Works itu dipilih untuk acara tayangan perdana festival yang berlangsung di Netherlands.

Afdlin berkata dia terharu dengan pemilihan filem itu, sekali gus berharap Baik Punya Ah Long dapat diterima secara positif pengunjung acara berkenaan.

“Pemilihan Baik Punya Ah Long ke IFFR sedikit sebanyak mengubat kekecewaan saya apabila filem itu mendapat sambutan yang kurang memberangsangkan di sini.

“Mungkin masyarakat kita belum cukup terbuka menerima filem bergenrekan muzikal.

“Saya agak kecewa kerana filem ini melalui proses yang besar untuk disiapkan. Kita buat 18 lagu baru semata-mata untuk filem ini, prosesnya bukan senang kerana turut melibatkan kareografi untuk tarian.

“Tapi saya tidak boleh paksa penonton untuk menerima karya itu. Saya hanya ingin bereksperimentasi,” katanya yang ditemui di majlis sidang media drama bersiri terbaharu di Unifi TV, Din Tiger.

Menurut Afdlin lagi, apa yang dialami sama seperti filem Joker yang turut mengalami nasib sama apabila kutipan filem itu tidak seperti apa yang diharapkan pengarahnya.

Akui perkara itu sedikit sebanyak menganggu emosinya, Adflin sempat berfikir adakah karya-karyanya tidak lagi relevan.

“Saya terfikir adakah orang sudah tidak suka karya saya dan mungkin saya dah tak boleh buat filem lagi.

“Tapi apabila pengarah festival sendiri yang pilih filem itu untuk ditayangkan di sana, saya sangat terharu.,” katanya.

Selain Afdlin sendiri yang membintangi filem itu, Baik Punya Ah Long turut menampilkan Zizan Razak, Johan, Liyana Jasmay, Adibah Noor, Adlin Aman Ramlie dan ramai lagi.

IFFR diadakan sejak 1972, acara itu berlangsung setiap tahun pada penghujung Januari bagi meraikan filem bebas dan eksperimental. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas