Berita

Badut Mat Cun penghibur warga Putrajaya

MOHD Supian (kiri) sedang melayan kanak-kanak yang menanti belon yang direkanya di food truck Presint 2, Putrajaya .
- Diterbit 29 Oktober 2022 4:32 AM MYT

KERJAYA badut bukanlah sesuatu yang asing namun sehingga ke hari ini stigma dan persepsi masyarakat yang sering memandang rendah
terhadap penghibur jalanan ini masih sukar untuk diubah.

Mengakui hal tersebut, badut yang dikenali dengan panggilan Badut Mat Cun atau nama sebenarnya Mohd Supian Hamsin, 48, enggan mengambil pusing dengan perkara tersebut asalkan pendapatan yang diperolehi halal untuk menampung keluarga.

Mula terlibat dalam dunia badut sejak tahun 2009, dia mengetepikan soal malu malah rasa bahagia setiap kali mengenakan pakaian berwarna-warni, memakai topeng dan solekan tebal pada wajah.

“Bila saya mulakan kerja dengan memegang belon, saya sudah tak ingat lagi perasaan malu dan sebagainya. Apa yang saya tahu adalah tugas untuk menghiburkan orang ramai dan menambah pendapatan.

“Saya sudah lali dengan segelintir masayarakat yang berterusan menilai kerjaya ini tiada masa depan, ‘busuk’ dan sebagainya kerana bagi saya ia adalah satu pekerjaan yang baik dan hanya mereka yang ‘kuat’ sahaja mampu bergelar badut,” ujarnya.

SELAIN berada di food truck Presint 2, Supian turut menjalankan perkhidmatan badut pada majlis hari jadi, perkahwinan dan sebagainya.

Menariknya, dia tidak meletakkan sebarang harga tetap pada jualan belon sebaliknya hanya menggunakan konsep sumbangan ikhlas sahaja kerana matlamat utamanya mahu memupuk amalan bersedekah.

“Saya sama sekali tidak memikirkan soal keuntungan kerana saya adalah penghibur yang mana matlamat saya bukan mencari keuntungan semata sebaliknya menceriakan orang ramai.

“Konsep sumbangan ikhlas tersebut mendapat respons positif daripada orang ramai. Dalam masa yang sama, bila saya gunakan konsep ini, alhamdulillah rezeki tidak pernah putus,” ujarnya.

Berkongsi tentang pengalamannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Badut Mat Cun berkata ketika itu dia menjalankan perkhidmatan penghantaran ‘Eskem Badut Percuma Belon RM1’ kepada pelanggannya.

“Pada masa itu saya bukan terfikir untuk duit sahaja tetapi saya ingin menceriakan orang ramai yang tertekan ketika menjalani PKP. Namun berkat jualan tersebut saya dapat membeli peti ais baru serta keperluan lain buat isteri dan anak-anak,” ujarnya.

Meskipun hanya melakukannya sebagai kerjaya sampingan pada setiap hari Jumaat hingga Ahad bermula pukul 8 malam di food truck Presint 2 namun dia mampu meraih pendapatan mencecah ribuan ringgit sebulan.

“Jumlah tersebut tidaklah tetap, kadang-kadang berubah mengikut hari dan keadaan semuanya bergantung kepada pengunjung terutama kanak-kanak,” ujarnya yang mengakui pernah mendapat RM100 untuk sebiji belon daripada pelanggan.

Selain menjual belon di tapak food truck, Badut Mat Cun yang boleh dihubungi menerusi talian 014-322 4286 turut menjalankan perkhidmatan badut pada majlis hari jadi, perkahwinan dan
sebagainya.

LATIHAN PERCUMA BUAT BADUT BAHARU

MEMPUNYAI pengalaman 12 tahun dalam dunia badut mendorongnya untuk berkongsi ilmu secara percuma kepada mereka yang ingin menceburi dunia penghibur tersebut.

Katanya, perkongsian ilmu ini diberikan bukan sahaja melatih seseorang menjadi badut untuk menjana pendapatan tetapi memberi keyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai selain menjana pendapatan tetap mahupun sampingan.

“Kalau di luar mungkin perlu bayar tapi dengan saya percuma sahaja dan mereka akan mempelajari perkara asas seperti gubahan belon, cara untuk memikat hati pengunjung dan sebagainya.

“Permulaannya, saya akan meminta mereka untuk berpakaian badut lengkap berserta solekan untuk menguji mereka sama ada malu atau tidak,” katanya yang kini sudah melatih lima orang badut sehingga berjaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas