SEBANYAK 22 badan sukan berdaftar dan aktif di Labuan menerima Bantuan MADANI bernilai RM56,000 daripada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) melalui Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) bagi membantu pengurusan operasi dan pentadbiran badan sukan terlibat.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, bantuan yang diberikan pada setiap tahun itu bertujuan melancarkan pengoperasian dan pengurusan persatuan sukan, terutama di Labuan.
Katanya, bagi Putrajaya dan Kuala Lumpur, bantuan tersebut akan diserahkan pada Mac ini membabitkan sejumlah RM290,000 kepada 82 badan sukan.
“Saya berharap bantuan ini dapat membantu badan sukan dalam pengurusan operasi dan pentadbiran.
“Saya menyeru agar dana yang diterima digunakan secara optimum bagi memastikan pembangunan sukan terus berkembang maju di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyerahan Bantuan MADANI kepada badan sukan Labuan.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib dan Pengarah MSWP, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Salleh.
Dalam perkembangan sama, bagi memastikan badan sukan lebih tersusun, profesional dan berdaya saing dalam pengurusan, beliau memperkenalkan Sistem Penarafan Bintang bagi badan-badan sukan di Wilayah Persekutuan.
“Penilaian boleh dibuat berdasarkan beberapa aspek utama seperti tatakelola organisasi, kecekapan pengurusan kewangan serta pencapaian badan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya yakin langkah ini akan menjadikan badan sukan lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan cekap dalam urus tadbir. Ini juga akan membantu membangunkan lebih ramai atlet berbakat serta memperkukuh Wilayah Persekutuan sebagai hab sukan yang cemerlang,” katanya. – WILAYAHKU