SETIAUSAHA Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terlibat dalam penyalahgunaan nama beliau membabitkan penipuan dan kerugian kepada seorang ahli perniagaan.
Azman berkata langkah tegas tersebut perlu diambil bagi melindungi reputasi beliau dan memastikan perkara sebegini tidak berulang.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa perkara itu merupakan fitnah jahat dan mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menyalahgunakan nama beliau untuk tujuan tidak bertanggungjawab dan penipuan.
“Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan nama baik saya, malah boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap institusi yang saya wakili.
“Saya menafikan mempunyai sebarang hubungan kerja dengan individu berkenaan dan tidak pernah melantik untuk mewakili saya dalam melakukan apa-apa urusan rasmi atau tidak rasmi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Azman menasihatkan kepada mangsa yang telah mengalami kerugian atas penipuan yang telah dilakukan oleh individu tersebut untuk segera membuat aduan kepada pihak polis.
” Ini adalah langkah yang perlu diambil supaya individu yang menjadi dalang atas penipuan ini dapat diheret ke muka pengadilan dan didakwa atas kesalahan menyamar dan mengambil wang secara haram,” katanya.
Dalam pada itu, Azman menasihatikan pempengaruh politik, Datuk Zaharin Mohd Yasin untuk mengamalkan sikap ‘tabayyun’ dengan melakukan semakan asas dan mendapatkan kebenaran sesuatu isu sebelum melakukan perkongsian di media sosial sebelum membuat penulisan yang boleh menghasilkan persepsi negatif serta pengaruh fitnah terhadap orang lain.
Terdahulu Zaharin atau lebih dikenali sebagai Sang Kelembai memuat naik satu hantaran dalam laman Facebook miliknya mengenai seorang individu yang mendakwa sebagai Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri sehingga mendorong seorang ahli perniagaan menyerahkan sejumlah wang bernilai RM90,000 sebagai dorongan untuk mendapatkan tender Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – WILAYAHKU