MASALAH keciciran pelajar perlu diatasi dengan segera khususnya di Wilayah Persekutuan, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Azman berkata kebanyakan pelajar yang tidak bersekolah ini bukanlah kerana masalah kemiskinan tetapi mindset ibu bapa yang menganggap pelajaran bukan kepentingan.
“Masalah kemiskinan ini kita boleh bantu dengan memberi sumbangan akan tetapi terdapat sesetengah ibu bapa yang mengambil mudah mengenai pendidikan.
“Justeru, saya menyeru pihak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan untuk memainkan peranan dalam memastikan semua murid-murid mengambil pendidikan sehingga Tingkatan 5.
“Masalah pelajar tercicir ini juga menjadi perhatian Kementerian Pendidikan (KPM), bukan di Wilayah Persekutuan sahaja malah seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Tahlil dan Doa Selamat sempena Ulang Tahun Ke-11 Alumni GPMS Kebangsaan di Masjid Negara hari ini.
Azman berkata antara pendekatan yang boleh dilakukan adalah mengadakan lawatan rumah ke rumah bagi mengenal pasti pelajar yang tidak bersekolah.
“Kita perlu tahu kenapa pelajar tersebut tidak pergi ke sekolah seterusnya maklumkan perkara itu kepada pihak berwajib untuk tindakan seterusnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Alumni GPMS Kebangsaan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, selain keciciran pelajar tidak bersekolah keciciran 3M juga perlu diberi perhatian.
“Masih ramai pelajar yang tidak menguasai 3M iaitu menulis,membaca dan mengira yang membuatkan mereka juga turut ketinggalan dalam pelajar. Oleh itu, perkara tersebut akan diberi tumpuan,” katanya. – WILAYAHKU