Artikel

Ayuh kibar Jalur Gemilang

- Diterbit 23 Ogos 2024 8:28 PM MYT

HARI Kebangsaan akan disambut pada 31 Ogos‚ seminggu sahaja lagi. Sambutan kali ini merupakan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-67. Selepas itu rakyat akan menyambut Hari Malaysia ke-61 pada 16 September.

Kepada warga kota khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya‚ ayuh kibar bendera sempena dua hari bersejarah ini. Sepatutnya sejak awal Ogos lagi Jalur Gemilang sudah dibuai bayu sepanjang Bulan Kemerdekaan Ogos hingga September. Jika belum segeralah berbuat demikian.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi‚ mengibarkan bendera adalah lambang kasih sayang kepada negara. Ia juga untuk menzahirkan rasa bangga menyambut 67 tahun terlepas daripada belenggu penjajah serta 61 tahun dalam Persekutuan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak.

Kemerdekaan adalah impian setiap negara‚ namun bukan semua mampu mencapainya. Atau ada yang dicapai melalui pertumpahan darah‚ ramai rakyat terkorban. Malaysia bertuah kerana kemerdekaan dicapai secara aman melalui kebijaksanaan dan rundingan para pemimpin terdahulu.

Kita harus berterima kasih kerana para pemimpin bukan sahaja menjelmakan kemerdekaan tetapi komited berusaha mengisi kemerdekaan. Terbukti negara mampu berdiri di atas kaki sendiri dan bergerak menuju kejayaan tanpa bergantung kepada penjajah.

Kita sebagai pewaris tanah air tercinta mesti terus mempertahan kemerdekaan negara. Rakyat pelbagai kaum mesti bersatu padu hidup aman damai.

Kita tidak perlu menuntut kemerdekaan lagi‚ cuma perlu terus menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi. Oleh itu kawan-kawan Kedai Kopi berharap tunjukkanlah cinta kepada negara dengan mengibarkan bendera. Cintailah tanah tumpah darah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas