Artikel

Awas ulat teksi haram

Foto: Berita Harian
- Diterbit 19 November 2024 1:30 PM MYT

‘ULAT’ ada di mana-mana. Dulu sering kita dengar ulat tiket bas atau ulat tiket wayang tetapi sejak tiket boleh dibeli secara atas talian‚ kegiatan ulat ini berkurangan. Namun kegiatan ulat parkir masih wujud. Ulat ini meminta wang daripada orang ramai yang mahu memparkir kenderaan.

Rupa-rupanya kegiatan ulat ini merebak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ulat-ulat menunggu pelanggan yang keluar dari pintu ketibaan lalu menawarkan khidmat membawa mereka ke destinasi diminta. Senang kata khidmat teksi haram atau kereta sapu.

Tetapi mungkin teksi haram ini menawarkan tambang lebih murah sehingga ada yang tertarik melanggannya.

Dalam hal ini‚ kawan-kawan Kedai Kopi ucap tahniah kepada pasukan polis yang bertindak tegas membanteras dan melumpuhkan kegiatan ulat-ulat tersebut. Beberapa orang ditahan‚ lelaki dan wanita.

Memetik Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman‚ Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri‚ operasi dikenali Ops Teksi Haram itu dijalankan oleh pasukan Unit Risikan Operasi jabatan berkenaan.

Operasi teksi sapu tidak dlindungi undang-undang. Jika berlaku kemalangan‚ penumpang tidak mendapat apa-apa pampasan. Selain itu‚ keselamatan juga tidak terjamin. Bagaimana jika teksi haram ini tidak membawa penumpang ke destinasi diminta sebaliknya menculik?

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas