PERNAH mengalami situasi cemas terlibat dalam kemalangan jalan raya? Tiada siapa yang mahu terlibat tetapi ada masa kemalangan terjadi juga. Kadang kala bukan kerana kesilapan sendiri tetapi akibat kecuaian orang lain.
Proses selepas kemalangan agak renyah. Perlu membuat laporan polis dan kemudian mengemukakan tuntutan kepada syarikat insuran jika ia kemalangan serius yang menyebabkan kenderaan rosak teruk.
Tuntutan perlu dibuat untuk menampung kos baik pulih kenderaan. Dengan itu bermakna ‘bonus tidak dituntut’ (NCB) juga ‘hangus’, kecuali jika mengeluarkan belanja sendiri untuk baik pulih. Namun jika melibatkan kos tinggi cara terbaik ialah membuat tuntutan insurans.
Apabila NCB hangus, bermakna tiada lagi diskaun untuk bayaran insuran akan datang. Premium akan kembali pada asal menurut nilai kereta yang diinsurankan sehinggalah sekurang-kurangnya setahun lagi, itu pun jika tiada tuntutan lain.
Namun satu perkara yang ingin kawan-kawan Kedai Kopi tekankan ialah keadaan yang kerap berlaku di lokasi kemalangan. Sudahlah yang terlibat dalam keadaan panik, mereka bertambah trauma apabila muncul trak tunda atau tow trucks daripada dua tiga syarikat berebut untuk menunda kenderaan ke bengkel.
Kawan-kawan Kedai Kopi hairan juga bagaimana syarikat kereta tunda ini begitu pantas mencium kemalangan yang berlalaku. Dalam tempuh waktu yang singkat mereka sudah sampai ke lokasi. Masing-masing menawarkan untuk menunda sehingga tambah memeningkan kepala mangsa yang terlibat kemalangan.
Dalam keadaan berebut ini boleh menyebabkan berlaku pertikaman lidah antara pengendali tow trucks. Masing-masing mendakwa traknya lebih berhak, terutama yang pertama sampai ke lokasi kemalangan. Kawan-kawan Kedai Kopi sendiri pernah mengalami situasi ini.
Yang sangat membimbangkan ialah apabila keadaan tidak terkawal pertikaman lidah membawa kepada pergaduhan melibatkan fizikal, malah senjata, sehingga menyebabkan kecederaan. Perbuatan ini turut menganggu ketenteraman awam.
Baru-baru ini dalam satu peristiwa di Kampung Malaysia Tambahan, Cheras, dua puak trak tunda bergaduh kerana berebut menunda kenderaan. Polis bertindak menahan 20 individu yang terlibat. Ini hanya satu contoh. Kejadian sama mungkin berlaku di banyak tempat lain.
Biasanya setiap syarikat insurans menyediakan khidmat trak tunda jika berlaku kemalangan atau kerosakan kepada kenderaan pelanggan. Nasihat kawan-kawan Kedai Kopi kepada para pemandu ialah hubungi syarikat insurans untuk dapatkan bantuan. Itu lebih selamat.
Jangan mudah terpengaruh atau bingung dengan tingkah laku pemilik trak tunda yang sampai ke lokasi. Tenangkan diri dan maklumkan kepada mereka secara baik bahawa anda sudah ada trak tunda sendiri dan sedang menunggu kedatangannya.
Biasanya pengendali trak akan faham dan berlalu. Tidak perlu layan lagi jika mereka masih terus memujuk. Elak bertegang urat dengan mereka kerana ada masa pengendali trak tunda ini pun menjadi bengis apabila gagal dapat kerja menunda. – WILAYAHKU