GOLONGAN yang melakukan perbuatan scam atau penipuan‚ baik secara bersemuka mahupun dalam talian (online)‚ dilihat sering kali menukar modus operandi mereka bagi menjerat mangsa.
Pelbagai cara dan lakonan dilakukan mereka termasuk menyamar sebagai anggota polis serta agensi penguat kuasa lain.
Itu belum lagi yang menawarkan elemen-elemen percintaan melalui love scam selain pelaburan tidak wujud yang akhirnya membuatkan mangsa ‘terbuai’ dengan janji-janji palsu.
Bercakap mengenai perkara itu‚ Pengarah (Kawal Selia) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Selangor‚ Mohamad Syukri Jamaluddin mengingatkan semua bahawa scammer juga melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi melunaskan tujuan mereka untuk menipu.
“Sudah banyak kempen kesedaran dilakukan tetapi masih ada yang menjadi mangsa. Hal demikian kerana orang jahat (scammer) ini ada teknik-teknik
yang mereka lakukan, mereka juga ada R&D nak menjerat mangsa.
“Mereka mengkaji bagaimana nak menipu‚ kaji latar belakang mangsa‚ kemudiannya barulah mangsa didekati.
“Dengan adanya teknologi kecerdasan buatan (AI)‚ R&D penipu ini lagilah berkembang cepat‚” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Keselamatan Dalam Talian yang diadakan di Studio TV‚ Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM)‚ Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam‚ Selangor baru-baru ini.
Forum tersebut dianjurkan YWP Media dengan kerjasama FKPM UiTM Shah Alam dan MCMC bersempena Festival Komunikasi dan Media (COMMED).
Selain beliau‚ panel terlibat dalam forum berkenaan adalah Pengerusi YWP Media Sdn Bhd‚ Datuk Afdlin Shauki; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Putrajaya‚ Asisten Superintenden Rastam Affendi Md Ramli dan Pensyarah Kanan FKPM UiTM‚ Dr Anuar Ali manakala penyampai radio popular‚ Fara Fauzana bertindak sebagai moderator.
Mohamad Syukri berkata‚ perkembangan teknologi dan penjenayah yang semakin bijak menyumbang kepada kes-kes penipuan yang seakan-akan tidak berpenghujung.
“Sebab itu kita perlu lebih bijak daripada mereka dan sentiasa berwaspada terhadap petanda-petanda scam bagi mengelak diri menjadi mangsa‚” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati menggunakan WiFi awam untuk sebarang transaksi persendirian khususnya perbankan. Katanya‚ apa-apa WiFi awam‚ ciri-ciri keselamatannya adalah rendah kerana boleh berlaku pelbagai pencerobohan data.
“Namanya pun public (awam) dan apabila nak buat transaksi perbankan‚ contohnya‚ itu sudah dikira private (peribadi). Boleh berlaku pencerobohan data‚ sesiapa sahaja boleh connect atau letak spyware (perisian perisik)‚” katanya.
Dalam pada itu‚ beliau menarik perhatian ramai apabila memaklumkan data-data mengenai usaha MCMC menyekat panggilan scammer yang kebanyakannya dari luar negara.
Katanya‚ dari 2022 sehingga tahun ini‚ sebanyak 1.4 bilion panggilan scammer sudah disekat MCMC‚ paling tinggi menyamar sebagai pegawai polis.
Malah beliau berkata‚ sejumlah 1.2 bilion khidmat pesanan ringkas (SMS) mencurigakan juga disekat bagi menangani jenayah penipuan.
Itu belum lagi sejumlah 118‚000 nombor telefon yang sudah dihapuskan bagi tujuan keselamatan selain MCMC bertindak menurunkan 57‚000 kandungan di media sosial.
Kepada soalan mengenai isu data peribadi dicuri‚ beliau berkata‚ ia juga bergantung kepada sikap mangsa sendiri yang mudah memberikan maklumat peribadi terutama di media sosial ketika melakukan transaksi pembelian secara dalam talian atau memuat turun aplikasi tertentu.
“Kita yang bagi kebenaran (meletakkan data-data peribadi) ketika hendak memuat turun sesuatu aplikasi. Kadang-kadang kita dirapati jurujual dan mereka meminta nombor telefon dan sebagainya‚ kita mudah nak bagi data-data tersebut‚” katanya. – WILAYAHKU