BERHATI-hati perlakuan anda di ibu kota! Anda dipantau dan dirakam. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memasang 5‚000 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan strategik atau ‘kawasan panas’ di seluruh ibu negara demi keselamatan dan keselesaan warga kota.
Tahniah kepada DBKL kerana mengambil pendekatan ini. Kamera CCTV dipasang khususnya di kawasan strategik di bandar raya seperti kawasan trafik sesak‚ kawasan kerap berlaku jenayah‚ taman awam‚ destinasi popular seperti ‘River of Life’ dan pasar.
Kawan-kawan Kedai Kopi difahamkan kamera ini dilengkapi dengan teknologi canggih untuk mengesan perlakuan jenayah‚ pelanggaran peraturan lalu lintas‚ iklan haram‚ mengesan tanda-tanda banjir‚ vandalisme serta sebarang kegiatan mencurigakan.
Pemasangan CCTV ini sangat membantu pihak berkuasa bertindak cepat dalam kes kecemasan serta mewujudkan kawasan selamat di ibu kota. Sebarang kegiatan mencurigakan atau perlakuan jenayah dapat dirakam‚ membolehkan pelaku dikesan dengan lebih mudah.
Begitu juga kes vandalisme yang kerap berlaku di kawasan taman awam mampu dikesan dan dikekang. Begitu juga dengan pemasangan iklan haram. Juga sebarang tanda yang menjurus ke arah banjir membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah persediaan segera.
Kamera ini juga mengesan kawasan yang kerap berlaku kesesakan lalu lintas. Dengan itu‚ pihak DBKL dengan cepat dapat mengenal pasti kawasan berkenaan‚ seterusnya menyalurkan maklumat kepada polis trafik atau trafik warden DBKL untuk bertindak.
Kawan-kawan Kedai Kopi kagum kerana semua kamera ini yang dikawal oleh Pusat Kawalan Bandar Raya Kuala Lumpur mampu menangkap imej sehingga jarak 200 meter. Imej rakaman berkualiti tinggi dan mampu disimpan sehingga 45 hari.
Yang menarik‚ rakaman boleh dimanfaat oleh orang ramai. Mereka boleh mengguna pakai rakaman untuk tujuan melapor kejadian tertentu dengan memintanya melalui laman web Adu@KL.