Berita

Awang Said derma darah 99 kali

- Diterbit 12 Julai 2024 3:50 PM MYT

SEORANG penjawat awam, mencatat rekod peribadi menderma darah sebanyak 99 kali bermula 11 tahun lalu.

Awang Said Lamin, 54 berkata usaha itu dilakukan bagi membantu orang ramai yang memerlukan selain ia atas dasar tanggungjawab sosial dan kemanusiaan.

“Saya percaya sejak 11 tahun ini, amalan itu dapat menyelamatkan nyawa dan akan terus melakakukannya selagi termampu kerana sedar ramai yang memerlukan bekalan darah.

“Saya anggap inisiatif murni ini didorong keinginan membantu menyelamatkan nyawa ramai orang. Saya berharap orang ramai bersama-sama mendermakan darah agar mereka yang memerlukan darah dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui pada Kempen Derma Darah anjuran Persatuan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Labuan atau The Labuan Occupational Safety and Health Practitioner Association (LOSHPA).

Sementara itu, Pengerusi LOSHPA Joanita Joseph berkata kira-kira 59 pain darah berjaya dikumpulkan menerusi kempen tersebut yang bertujuan menyokong bank darah hospital dengan moto ‘Derma Darah, Selamatkan Nyawa.

Katanya, LOSHPA menyokong keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan komuniti sekali gus menekankan misi persatuan dan kepentingan menderma darah seiring dengan perkembangan semasa.

“Program tersebut juga bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan kepada orang ramai tentang keselamatan dan kesihatan, seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Ia turut memberikan kesedaran serta pendidikan kepada orang ramai tentang kepentingan menderma darah selain ia akan diserahkan kepada Hospital Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas