Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
PERKEMBANGAN fizikal dan mental setiap kanak-kanak adalah berbeza meskipun ibu bapa sering mengikuti perkembangannya namun masih ramai yang tidak dapat mengenal pasti petunjuk si kecil menghidap autisme.
Situasi sama dilalui Nur Hazira Abdul Razak, 32, selepas anak sulungnya Hafiy Solihin Mohamad Safrol disahkan mengalami autisme tahap 2 pada umur tiga tahun.
“Pada mulanya memang tak tahu dia autisme. Kami mula bimbang apabila Hafiy lambat bercakap berbanding dengan tiga orang sepupunya yang sebaya.
“Tidak mahu terus menunggu, saya dan suami bawa Hafiy berjumpa doktor pakar swasta dan ketika itu dia hanya didiagnos lambat bercakap (speech delay) mungkin ketika itu masih kecil. Tanpa berlengah kami terus mulakan speech therapy untuk atasinya.
“Namun setelah enam bulan, doktor mengesahkan Hafiy mengalami autisme kerana simptomnya semakin jelas dan telah dirujuk ke doktor pakar di hospital kerajaan. Dalam masa sama kami teruskan rawatan speech therapy, occupational therapy serta hantar dia ke Early Intervention Centre berhampiran rumah,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Nur Hazira berkata pada mulanya dia tidak menyangka anaknya adalah insan istimewa dan menganggap hanya tumbesarannya sahaja yang lambat sedikit berbanding kanak-kanak seusia.
“Apabila disahkan anak mengalami autisme, saya rasa sedih dan sukar untuk terima kenyataan tapi lama-kelamaan saya reda sebab Hafiy seorang yang penyayang, suka dipeluk dan kurang tantrum jadi saya bersyukur kehadirannya dalam keluarga kami,” kongsinya kepada Wilayahku.
Tidak dinafikan cabaran buat penjaga yang mempunyai anak-anak autisme adalah besar, Nur Hazira berkata dirinya juga tidak terlepas daripada diuji dan terdapat perbezaan besar dalam menjaga anak normal dan autisme.
“Cabaran paling besar apabila saya cuba fahami anak sebab kita tak tahu apa yang dia suka atau tidak. Kita yang dah rapat je tahu sebab setiap hari hadap benda yang sama, memang penat tapi memerlukan kesabaran yang tinggi. Perbezaan memang sangat ketara kerana anak autisme ini mereka tidak pandai menguruskan emosi sendiri ada hari feelingless atau emotionless.
“Yang paling berat adalah sampai sekarang Hafiy tak pernah panggil mama atau papa. Dia tahu mana satu mama dan papa tapi tak pernah panggil, semestinya sedih sebab itu perkara yang semua ibu bapa mahu dengar namun saya percaya semuanya ada hikmah,” ujarnya.
Sementara itu, Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar@9 Putrajaya, Suhana Alam berkata setiap kanak-kanak autisme mempunyai tahap yang berbeza justeru teknik yang pelbagai juga diperlukan dalam mengendalikan mereka.
“Kanak-kanak autisme perlu bimbingan dan terapi. Sebagai tenaga pengajar kami perlu memberi dan menekankan pemulihan mengikut keperluan OKU itu sendiri. Tenaga pengajar memberi aktiviti yang kreatif dalam menjalankan pemulihan bagi menarik minat. Komunikasi dua hala ini dapat membuahkan peningkatan yang baik.
“Antara terapi yang diperlukan adalah seperti motor kasar, motor halus, renang, terapi pertuturan, terapi carakerja dan berkuda namun perlu ingat bahawa ada juga yang memerlukan ubatan bagi ketenangan dalam pengurusan diri,” katanya yang sudah berpengalaman selama 28 tahun sebagai penjaga kanak-kanak autisme.
Dalam pada itu, Suhana menegaskan kesedaran bermula daripada ibu bapa atau penjaga yang perlu bersama-sama menjalankan pemulihan.
“Di sekolah pula para guru boleh membantu dari segi pemulihan dan aktiviti yang dijalankan. Antara lain, kesedaran boleh dilakukan melalui risalah dan bengkel kesedaran anak-anak autisme di agensi, jabatan, sekolah-sekolah atau komuniti,” jelasnya. – WILAYAHKU