Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
MEMBESARKAN anak autisme memerlukan banyak usaha, kesabaran dan kasih sayang kerana keunikan mereka itu adalah anugerah dan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kepada ibu bapa yang terpilih.
Menurut Pakar Psikologi SEGi Universiti, Profesor Datin Dr Mariani Md Nor, menjaga anak autisme memerlukan pendekatan yang berbeza dan ia boleh menjadi satu cabaran besar buat ibu bapa lebih-lebih lagi jika merupakan anak sulung.
“Namun terdapat beberapa perkara yang boleh diamalkan bagi membantu ibu bapa yang berada di dalam situasi ini antaranya dengan mencipta rutin harian agar anak berasa lebih selamat dan tenang dengan rutin yang konsisten.
“Cipta jadual harian yang tetap untuk aktiviti, makan dan tidur mereka. Walau bagaimanapun, ada kalanya fleksibiliti juga diperlukan di mana ibu bapa perlu belajar menyesuaikan diri dengan perubahan yang tidak dijangka kerana setiap anak adalah berbeza dan mereka boleh berubah mengikut keadaan,” katanya.
Selain itu, Mariani berkata ibu bapa juga perlu bijak menetapkan harapan yang realistik terhadap anak-anak serta memahami bahawa perkembangan mereka mungkin berbeza dari anak lain dan raikanlah setiap kemajuan, tidak kira sekecil mana pun.
“Sebagai ibu bapa juga boleh terus memberi fokus kepada kekuatan anak autisme dengan membantu mengembangkan serta menyokong setiap apa yang diminati mereka.
“Tidak dilupakan waktu bersama keluarga adalah penting bagi membina hubungan yang kukuh antara penjaga dan juga anak autisme sekali gus memberi rasa selamat terhadap anak-anak.
“Pastikan anda dan pasangan bekerja sebagai satu pasukan di mana komunikasi terbuka dan sokongan antara satu sama lain adalah yang utama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mariani turut menekankan bahawa sokongan dan bantuan adalah amat penting buat ibu bapa atau penjaga anak autisme.
“Mereka perlu menyedari bahawa mereka tidak bersendirian serta mencari bantuan profesional serta sokongan komuniti. Jika tekanan atau kemurungan menjadi sangat serius, penting untuk mencari bantuan segera daripada profesional kesihatan mental, selain mendapatkan sokongan dari keluarga.
“Dalam kes yang ekstrem, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan atau keletihan yang melampau dan akhirnya mengalami kecelaruan mental. Ini seterusnya boleh meningkatkan risiko berlakunya situasi yang tidak diingini,” ujarnya. – WILAYAHKU