KEDAULATAN penting bagi memastikan negara dapat membuat keputusan dan dasar mengikut kepentingan dan keperluan rakyatnya.
Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata keselamatan negara termasuk perlindungan terhadap ancaman dalaman dan luaran.
Jelasnya ancaman dimaksudkan seperti keganasan, pengintipan atau pencerobohan tentera dari negara lain. Tanpa keselamatan yang mencukupi, negara boleh mengalami ketidakstabilan, huru-hara bahkan runtuh.
“Dengan mengekalkan kedaulatan, negara boleh mencegah dan bertindak balas terhadap ancaman yang mungkin timbul dari luar, seperti serangan tentera atau campur tangan politik. Ini penting untuk melindungi integriti wilayah dan kepentingan negara.
“Kedaulatan membantu melindungi identiti dan budaya sesebuah negara. Dalam menghadapi globalisasi dan pengaruh luar, mengekalkan kedaulatan membantu dalam memastikan nilai dan tradisi tempatan terus dihormati dan dipelihara,” ujar beliau.
Tambahnya, negara yang mempunyai keselamatan dan kedaulatan yang kukuh cenderung mempunyai hubungan antarabangsa yang stabil dan dipercayai.
“Keamanan yang dikecapi negeri Sarawak, seperti juga negeri-negeri lain di Malaysia adalah sebahagian daripada dasar keselamatan negara.
“Pasukan keselamatan terutamanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan wilayah Malaysia termasuk Sarawak.
“ATM ditugaskan untuk menjaga keselamatan, melindungi sempadan dan menghadapi ancaman dari dalam dan luar negara.
“Ini termasuk keselamatan sempadan, rondaan serta tindak balas terhadap potensi ancaman seperti keganasan atau insiden rentas sempadan.
“Penglibatan ATM di Sarawak lebih popular selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Inilah saat bersejarah Malaysia secara rasmi diisytiharkan sebagai sebuah negara yang terdiri daripada negeri-negeri Malaya, Sarawak dan Sabah.
“Ketika itu Sarawak sedang berhadapan konfrontasi dengan Indonesia apabila kerajaan Indonesia tidak bersetuju penubuhan Malaysia ini sekali gus menyebabkan konflik yang tegang.
“Kawalan keselamatan diperketatkan ATM dengan beberapa tentera khususnya dari Semenanjung bertungkus-lumus menjaga keamanan sempadan Sarawak yang juga pada ketika itu menerima ancaman daripada komunis.
“Sejarah Konfrontasi Indonesia-Malaysia bermula sejak 20 Januari 1963 hingga 11 Ogos 1966,” katanya.
Tambahnya kemudian terbentuk atau tertubuhnya Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) pada 26 Mac 1972.
“Secara umumnya, RASCOM adalah sebuah badan yang ditugaskan untuk menjaga dan membenteras kegiatan komunis di Bahagian Ketiga (kini dikenali sebagai Bahagian Sibu) Sarawak.
“Peranan badan ini penting dalam menjaga keselamatan penduduk di bahagian terbabit dan penubuhannya mampu mengawal kegiatan komunis pada ketika itu.
“Pihak komunis bukan sahaja melakukan serangan hendap terhadap pasukan keselamatan, tetapi telah melakukan juga ugutan dan kekerasan ke atas penduduk tempatan.
“Atas sebab itu pihak kerajaan mula merancang untuk melakukan usaha membendung dan menghapuskan masalah ini dengan menubuhkan RASCOM.
“Penubuhan RASCOM ini menggabungkan pihak awam, polis dan tentera dengan objektif untuk membolehkan dasar, keputusan dibuat dan dilaksanakan dengan lebih pantas dan cekap,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, secara dasarnya Zaki memberitahu Markas Pemerintahan Medan Timur (Sabah Sarawak) yang terdiri daripada Markas 1 Divisyen Infantri (Sarawak) mempunyai 3 Briged Infantri, 9 Briged Infantri serta 31 Briged Infantri.
“Secara kasar 1 briged berkekuatan 3,000 hingga 5,000 anggota. Jadi sebuah divisyen dalam anggaran 15,000 hingga 25,000 anggota,” ujarnya.
Jelas Zaki, antara Ops ketenteraan seperti Ops Ngayau, Ops Ukur, Ops Keris, Ops Benteng adalah antara bukti bahawa ATM sentiasa mempertahankan kedaulatan negeri Sarawak dibantu dengan kekuatan-kekuatan tentera di seluruh pelosok Malaysia.
Zaki berkata pengorbanan dan jasa seorang tentera memang tiada tolok bandingnya. – WILAYAHKU