KHABARNYA kerap berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual di Jalan Genting, Setapak, yang juga melibatkan kawasan Gombak. Terbaharu adalah pada minggu Februari lalu, dari awal pagi hingga hampir tengah malam.
Menurut maklumat rakan-rakan yang tinggal di kawasan tersebut, sebelum ini memang kerap berlaku gangguan. Penduduk bagai sudah lali, sekadar mengeluh kenapa sering terjadi.
Putus bekalan air mendatangkan banyak masalah dalam urusan seharian. Kerap kali paip pecah merupakan punca utama gangguan. Ada kes kerana korek mengorek jalan. Tetapi banyak kes paip pecah mungkin kerana faktor paip yang sudah terlalu lama sehingga tidak dapat menahan tekanan.
Jika begitu, tidak adakah perancangan sistematik untuk mengganti semua paip lama? Maklum jika paip sudah berpuluh tahun terpendam dalam perut bumi, daya tahannya semakin merosot. Kalau paip besi, kerat sudah tebal menyebabkan aliran air jadi sempit. Lagi mudah paip pecah.
Barangkali Air Selangor menghadapi kekangan memantau masalah ini. Air Selangor ialah operator air terbesar di Malaysia, menyediakan bekalan air bersih kepada lebih 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Memang luas skop perkhidmatan Air Selangor yang mendominasi bekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Tugasnya mencabar, menangani jika berlaku masalah di loji, atau paip pecah. Pergantungan kepada Air Selangor begitu tinggi.
Untuk waktu ini kawasan yang menerima khidmat Air Selangor perlulah terus dengan tradisi yang ada. Cuma harapan ramai, Air Selangor hendaklah berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna, termasuk memastikan tidak terlalu kerap berlaku gangguan bekalan tidak berjadual.