SEBAGAI menghargai jasa dan sumbangan besar Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada negara dan masyarakat, Majlis Amanah Rakyat (MARA) bercadang menamakan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Badawi.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan penamaan semula institusi pendidikan berprestij itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan rasmi.
“Saya akan mendapatkan persetujuan YAB Perdana Menteri bagi menamakan MRSM Kepala Batas sebagai MRSM Tun Abdullah Badawi. Ia bagi memperingati jasa Almarhum yang juga anak jati Kepala Batas, dan merupakan antara tokoh negara yang paling berjasa kepada pembangunan pendidikan dan pembangunan modal insan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Almarhum yang juga Perdana Menteri Kelima Malaysia bukan sahaja dikenang sebagai pemimpin berjiwa besar dan berhemah tinggi, tetapi turut menjadi simbol kepada kepimpinan yang sederhana, progresif serta mendahulukan rakyat.
Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang namun membesar dan berkhidmat di Kepala Batas, tempat yang kekal menjadi kubu kuat politik beliau selama lebih empat dekad.
Sebagai Perdana Menteri, Almarhum memainkan peranan penting dalam memperkukuh institusi pendidikan negara, termasuk perluasan akses pendidikan berkualiti melalui pelbagai program pembangunan insan di bawah agensi seperti MARA.
Asyraf berkata, penamaan MRSM berkenaan sebagai MRSM Tun Abdullah Badawi juga akan menjadi simbol penghargaan negara kepada sumbangan Almarhum dalam bidang diplomasi, perpaduan nasional serta dasar keterbukaan yang banyak membawa manfaat kepada rakyat.
Katanya, MARA amat menghargai jasa-jasa Almarhum yang selama hayatnya telah menabur bakti bukan sahaja sebagai pemimpin negara, tetapi juga sebagai tokoh pendidik, pentadbir, dan negarawan ulung.-WILAYAHKU