ASTRO Audio menyambut baik keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak menggantung lesen penyiaran radio Maestra Broadcast
Sdn Bhd (Maestra), yang merangkumi ERA, MIX FM dan MELODY FM.
Bagaimanapun Astro Audio mengambil maklum mengenai kompaun sebanyak RM250,000 yang dikenakan ke atas Maestra hari ini dan akan berhubung terus dengan SKMM berkait hal itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Daryl Smith berkata, fokus pihaknya kini adalah untuk membina semula kepercayaan pendengar.
“Kami bertekad untuk menambah baik dan memastikan kandungan kami mencerminkan nilai yang baik.
“Kami juga kekal komited dalam mengangkat tema kepelbagaian dan perpaduan dalam setiap perkara
yang dilakukan serta mengakui betapa besarnya kebimbangan dicetuskan akibat kekhilafan di
ERA terhadap sebahagian masyarakat.
“Fokus kami kini adalah untuk membina semula kepercayaan yang telah dipupuk sekian lama oleh ERA bersama para pendengarnya,” ujarnya.
Terdahulu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun RM250,000 kepada Maestra Broadcast Sdn Bhd kerana muat naik kandungan jelik melampau di TikTok Era FM, bagaimana memutuskan tidak menggantung lesen Maestra.
SKMM sebelum ini mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada pengendali lesen stesen radio berkenaan susulan penyebaran video tular memaparkan penyampainya mempersenda upacara agama Hindu.
Susulan itu, tiga penyampai 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin serta tiga lagi kakitangan digantung tugas rentetan kontroversi itu.
Ketiga-tiganya bagaimanapun sudah memohon maaf di atas kejadian berkenaan.-WILAYAHKU