PAMERAN dan Persidangan Antarabangsa ‘Asia Smart Farming & Food Security 2024’ (ASF 2024) secara rasmi telah melabuhkan tirainya semalam selepas tiga hari penganjuran bermula 26 November lalu di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM).
Acara ini dilihat semakin hampir mencapai matlamatnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan pertanian pintar tanpa penggunaan racun kimia berbahaya.
Acara ASF 2024 dianjurkan oleh ABS Greentech Sdn Bhd selaku penganjur utama dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan disokong oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia.

Dengan tagline ‘Pesticide-Free Farming for a Healthier Nation’, ASF 2024 menekankan komitmen terhadap pertanian lestari dan selamat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, melalui timbalannya Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, yakin bahawa Malaysia mampu mencapai matlamat ini.
“Saya yakin kita mampu menjadikan Malaysia sebuah negara bebas racun kimia dan selamat pada masa depan. Misi ini selari dengan kempen ‘Safe to Eat Food Products’ yang baru dilancarkan oleh Sarawak dan prinsip kerajaan negeri untuk mengharamkan penggunaan racun kimia tidak lama lagi,” kata Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Atas tanggungjawab untuk memberi kesedaran dan kesinambungan daripada acara ASF 2024, penganjur merancang untuk mengadakan pameran serantau yang lebih meluas di seluruh Malaysia iaitu di Sabah, Sarawak, utara dan selatan Malaysia.
Sarawak bakal menjadi negeri pertama yang menganjurkan acara ini, memanfaatkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang sepadan dengan objektif ASF.
ASF bertekad membantu petani beralih kepada amalan bebas bahan kimia berbahaya melalui penggunaan teknologi terkini. Pengerusi Penganjur dan Ketua Pegawai Eksekutif ABS Greentech Sdn Bhd, R.M. Ravichandar, menegaskan pentingnya mendidik petani tentang kaedah pertanian lestari.
“Misi kami untuk memberi kesedaran tentang pertanian bebas bahan racun kimia dan untuk memastikan mesejnya sampai ke akar umbi pihak kami merancang untuk menubuhkan pusat latihan di setiap kawasan bagi mendidik petani tentang penanaman tanpa bahan kimia berbahaya, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kesihatan. Jika rakyat kita tidak sihat, negara kita juga tidak akan sihat,” ujarnya.

Pencapaian utama ASF 2024
Salah satu kejayaan utama ASF 2024 adalah terjalinnya beberapa kerjasama baru yang akan memberi manfaat kepada syarikat tempatan dan memudahkan pertukaran teknologi, seterusnya memberi impak positif kepada petani dan masyarakat Malaysia.
Beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani termasuk: ABS Greentech Sdn Bhd dan IFFCO-Nanoventions Private Limited, ABS Greentech Sdn Bhd dan Western Power China, ABS Greentech Sdn Bhd dan Innofriends untuk projek tenaga boleh diperbaharui serta ABS Greentech Sdn Bhd dan AND Biological B.V. (Belanda) untuk memperkenalkan Teknologi NoSelf (DNA).
Kerjasama ini akan membawa teknologi terkini ke Malaysia seperti ladang solar, sistem pengurusan perosak maju, penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, dan pembungkusan makanan yang lestari.
“Acara ini adalah daripada petani untuk petani. Bersama-sama, kita sedang membina masa depan pertanian yang lebih sihat dan mampan untuk Malaysia dan dunia,” kata Ravichandar.
Menarik golongan muda dalam pertanian
ABS Greentech, bersama Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), mengambil langkah untuk menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian.
“Cabaran utama dalam sektor pertanian hari ini adalah kekurangan minat dalam kalangan generasi muda. Ramai petani Malaysia semakin berusia, dan tiada waris untuk meneruskan usaha mereka. Dengan menyediakan latihan dan pengetahuan, kami ingin menunjukkan bahawa pertanian boleh berkembang dengan teknologi moden,” jelas Ravichandar.
ABS Greentech bekerjasama dengan UPM, MARDI, dan MTDC menawarkan program latihan yang menumpukan kepada amalan pertanian moden, termasuk penggunaan teknologi pertanian tepat dan Integrated Pest Management (IPM) tanpa bahan kimia berbahaya.
“Ilmu tentang teknologi terkini memainkan peranan penting. Petani muda akan dilatih menggunakan data dan peralatan berteknologi tinggi untuk mengoptimumkan hasil tanaman mereka. Sebagai contoh, di Belanda, petani kecil dengan hanya 3 hingga 5 ekar tanah mampu menguruskan sumber dengan lebih cekap melalui teknologi. Kami yakin amalan serupa boleh diterapkan di Malaysia.” ujarnya.
Rakan strategik ASF 2024
ASF 2024 menyaksikan penglibatan syarikat-syarikat gergasi dunia dan tempatan berkongsi teknologi dalam bidang pertanian antaranya Western Power (China), INOFRIENDS (Korea Selatan), IFFCO Nanoventions Private Limited (India), UPL Global (India), AND Biologicals (Belanda), Lentiz Education Group (Belanda) dan Tropical Agrosystem (India) Pvt Ltd.
Syarikat Malaysia yang menyertai adalah Adastra IP (M) Sdn. Bhd., ARISE Consulting, ViTrox Agritech, Vigor Agribiotech Solutions, Picasynergy Holdings (M) Sdn Bhd, Pesticide Action Network Asia Pacific (PANAP), Global Psytech, Ken Microbes dan Aerodyne Group (Malaysia).
Dalam pada itu, ASF 2024 turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Malaysia Productivity Corporation (MPC), Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Malaysian Industrial Development Finance (MIDF), Agrobank Malaysia, Langkawi Development Authority (LADA), Persatuan Promosi Ekonomi dan Perdagangan Borneo Malaysia, Asia-Africa Chamber of Commerce (AACCI) Kenya Chapter, Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) dan Universiti Sains Malaysia.
ASF 2024 turut menampilkan kehadiran delegasi dan penceramah dari 26 buah negara Belanda, Itali, Sepanyol, India, Maldives, China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Kemboja, Indonesia, Singapura, South Africa dan Malaysia sekali gus menarik graduan-graduan pertanian dari universiti seluruh Malaysia termasuklah UPM yang menghantar 100 orang pelajarnya.
Acara ASF 2024 akan berlangsung selama tiga hari bermula 26 November sehingga 28 November 2024 di Dewan Bankuet (Banquet Hall), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Untuk maklumat lanjut mengenai ASF sila layari laman web rasmi, https://www.absgreentech.com.my – WILAYAHKU