AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), hari ini mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (TK2023).
Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit. Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM9.3 bilion ini akan memanfaatkan 10.8 juta pemegang unit ASB.
ASB terus memberikan pengagihan pendapatan yang kompetitif, mengatasi penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.
Bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.8 juta akaun, menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata di sebalik keadaan pasaran yang sentiasa berubah-ubah, PNB telah secara konsisten memberikan pulangan
yang kompetitif melalui dana harga tetapnya, yang kesemuanya telah mengatasi penanda aras mereka selama ini.
Tambah beliau, orang ramai digalakkan agar terus menyimpan untuk jangka masa panjang dan masa depan yang terjamin.
“Kami mengiktiraf kepentingan memperjuangkan agenda celik kewangan dan berpandukan matlamat kami yang diperbaharui baru-baru ini, ‘Untuk Mengukuh Kedudukan Kewangan Rakyat Malaysia, Merentas Generasi’, kami komited untuk berkhidmat kepada pemegang unit kami dan memberikan hasil yang kompetitif.”
““Tahun ini, kami menyaksikan peningkatan dalam bilangan akaun kepada 15.6 juta setakat Oktober 2023 (daripada 15.2 juta tahun lepas).
“Populariti berterusan produk unit amanah kami terbukti melalui kajian daripada 2023 RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) dengan produk ASNB mengekalkan kedudukan mereka sebagai pilihan pelaburan paling popular,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata ASB telah mencatatkan prestasi yang kukuh, hasil daripada perumpukan aset dan strategi kepelbagaiannya.
“Beberapa urus niaga penting telah dilaksanakan untuk meningkatkan nilai bagi pemegang unit.
“ASB terus menjadi pelaburan pilihan jutaan masyarakat Bumiputera dan terus memberikan pulangan yang konsisten, membentuk sebahagian daripada pelan simpanan untuk lebih 10.8 juta pelanggan,” ujarnya.
Melangkah ke 2024, PNB akan terus menyokong agenda inovasi dan mengutamakan pendigitalan untuk menambahbaik pengalaman pemegang unit, sambil memastikan Kumpulan berada di landasan yang betul dalam mencapai 10 Komitmen ESG (Alam Sekitar, Sosial, & Tadbir Urus).
Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut. Unit-unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2024.
Urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan perbankan internet, akan ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 25 Disember 2022. – WILAYAHKU.