Berita

Asal usul Kamala Harris dari Malaysia?, ‘Jika menang, kita akan jemputnya balik kampung’

- Diterbit 30 Oktober 2024 2:57 PM MYT

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan memberikan maklum balas berjenaka terhadap dakwaan orang kuat Donald Trump, Tucker Carlson yang mengatakan calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris berdarah keturunan Malaysia.

Dalam hantaran terbaharunya di Instagram, Mohamad berterima kasih kepada Carlson kerana ‘mempopularkan’ isu tersebut sehingga mendapat perhatian ramai di negara ini.

“Tucker Carlson baru-baru ini mendakwa calon Presiden AS itu (Kamala Harris) mempunyai asal usul keturunan di Malaysia.

“Terima kasih kerana membawa perkara ini ke perhatian kami, Mr Carlson. Kami tidak menyedari bahawa seorang calon dari Malaysia bertanding untuk jawatan Presiden AS.

“Jika Puan Kamala menang, kami amat berharap dapat menjemputnya pulang ke kampung dan mencuba nasi goreng USA,” katanya.

Ketika perhimpunan kempen Trump di Madison Square Garden, New York pada 27 Oktober lalu, Carlson mendakwa Kamala berketurunan Samoa-Malaysia.

Ucapan penuh yakin beliau itu menjadi bahan ketawa netizen di media sosial.

Kamala dilahirkan dalam keluarga imigran di AS.

Bapanya berasal dari Jamaica dan merupakan bekas profesor ekonomi manakala ibunya berasal dari India.

Pilihan Raya Presiden AS dijadual berlangsung 5 November ini menyaksikan persaingan sengit antara calon Republikan yang juga bekas Presiden, Donald Trump serta calon Demokrat dan Naib Presiden AS, Kamala Harris. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas