Berita

ASA 2024: Suria FM menang kategori Rancangan Agama Radio Terbaik, “Program ini mendidik hati” – DJ Lin

- Diterbit 27 Oktober 2024 7:38 AM MYT

SURIA FM sekali lagi melakar sejarah apabila memenangi kategori Rancangan Agama Radio Terbaik melalui program ’30 Hari Mencari Cinta Ilahi bersama Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa’, acara kemuncak Anugerah Seri Angkasa2024 (ASA 2024) yang diadakan pada Sabtu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Diterbitkan oleh Farhana Najlaa, program ini mengangkat tema cinta dan pengabdian kepada Tuhan yang disampaikan melalui perkongsian rohani, tazkirah, dan pengalaman kehidupan masyarakat.

Kejayaan ini sekaligus membuktikan keupayaan Suria FM dalam menyampaikan mesej keagamaan dengan pendekatan yang lebih dekat kepada pendengar.

DJ Lin

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin), menyatakan rasa syukur dan terima kasih atas kemenangan ini.

“Kemenangan ini adalah hasil usaha gigih team Suria FM, terutamanya penerbit Farhana Najlaa dan semua yang terlibat dalam penghasilan program ini.

“Program ini bukan sahaja berjaya mendidik hati, tetapi juga berjaya menyentuh perasaan para pendengar. Anugerah ini adalah penghargaan atas komitmen kami dalam menghasilkan kandungan yang bermanfaat, relevan, dan bermakna untuk masyarakat,” ujar DJ Lin.

ASA merupakan acara berprestij dalam industri penyiaran Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi.

Anugerah ini diberikan kepada program dan personaliti penyiaran terbaik di Malaysia, dan pemenang ditentukan sepenuhnya oleh panel juri profesional berdasarkan kualiti produksi, kreativiti, dan impak kandungan.

Sebanyak 60 kategori (40 kategori televisyen, 16 kategori radio, empat kategori media baharu) dipertandingkan pada ASA 2024.

Suria FM amat gembira di atas pengiktirafan ini dan akan terus komited untuk memberikan yang terbaik kepada para pendengar dengan pelbagai program berkualiti tinggi dan berinformasi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas