AMERIKA Syarikat (AS) menyerahkan dua rakyat Malaysia yang ditahan di Kem Guantanamo, di Cuba sejak 18 tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata penerimaan itu atas prinsip hak asasi manusia dan dokongan keadilan sejagat.
Katanya, kedua-dua tahanan itu ditahan sejak 2006.
“Kerajaan telah merangka suatu program reintegrasi yang komprehensif khusus untuk kedua-dua individu berkenaan merangkumi bantuan perkhidmatan sokongan, kebajikan dan saringan kesihatan.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) merakam ucapan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam menyempurnakan proses penyerahan kedua-dua warganegara Malaysia ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan dua rakyat Malaysia itu adalah Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin yang berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.
Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke kem tahanan itu pada 2006. – WILAYAHKU