AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencatatkan lebih RM1.5 bilion bagi jumlah nilai harta yang dapat diselamatkan sepanjang tahun 2024.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, nilai itu mewakili 218 kes insiden di laut dan melibatkan 1,256 mangsa.
“Seramai 62 orang telah meninggal dan 26 orang hilang manakala 1,168 orang telah berjaya diselamatkan.
“Sepanjang tahun 2024, APMM telah menjalankan pelbagai operasi maritim dan operasi menyelamat, memastikan perairan kita selamat daripada ancaman jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan pencerobohan,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Saifuddin berkata APMM juga telah mencatatkan sebanyak RM91,455,936 juta bagi jumlah keseluruhan nilai tangkapan dan rampasan dalam operasi Maritim yang dilaksanakan pada 1 Januari sehingga 22 Disember tahun lepas.
“Sebanyak 50,783 penggeledahan telah dijalankan dan 1,271 tangkapan telah dibuat.
“Ia merangkumi tangkapan dan rampasan nelayan asing (RM85 juta), diesel (RM1.3 juta), dadah (RM983,500), barangan terkawal (RM660,401), petrol (RM215,277), ketum (RM129,000), rokok (RM16,520) dan tangkapan serta rampasan lain-lain bernilai lebih RM2.6 juta,” ujarnya.
Tambah beliau APMM akan terus menjadi benteng utama dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
“Kerajaan memberi jaminan bahawa usaha memperkukuh keselamatan sempadan laut akan terus dipertingkatkan demi kedaulatan negara dan kesejahteraan seluruh rakyat.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan APMM atas pengorbanan dan dedikasi luar biasa dalam melindungi perairan negara,” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]