AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan melaksanakan latihan Labuan Search and Rescue Operation Exercise (LSARO-EXE ) 2022 selama tiga hari bermula 18 Januari sehingga hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sesi latihan itu melibatkan kerjasama daripada 10 jabatan dan agensi penyelamat di pulau bebas cukai ini.
Menurutnya, objektif utama adalah untuk memperkukuhkan jaringan komunikasi dan pendedahan berkaitan Search and Rescue Action Plan di antara pihaknya dengan agensi penyelamat yang lain.
“Latihan ini menambah baik kaedah penyelarasan dan penyaluran maklumat dengan berkesan.
“Ia juga bertujuan menilai tahap siap siaga aset-aset penyelamat serta menilai masa respon yang perlu dalam menangani sebarang kecemasan di laut,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penutup LSARO-EXE 2022 di sebuah hotel, di sini.


Hadir sama, Komander Pengkalan Udara Labuan Brig. Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim, Pengarah Zon Maritim Labuan Kepten Maritim Nudin Jusoh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail dan Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila.
Tambahnya, latihan membabitkan dua fasa iaitu fasa daratan dan fasa di laut dengan simulasi latihan yang diadaptasi berdasarkan situasi sebenar kejadian kemalangan di laut.
“Menerusi siri latihan situasi ini, semua pasukan penyelamat memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam mengawal sebarang insiden yang berlaku,” katanya. – WILAYAHKU