Berita

Aplikasi VisitKL permudah pelancong

MAIMUNAH ketika melancarkan portal dan aplikasi VisitKL.
- Diterbit 27 Mac 2025 9:00 AM MYT
PELANCONG antarabangsa mahupun tempatan yang berkunjung ke ibu negara kini boleh menggunakan aplikasi VisitKL yang dibangunkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merancang perjalanan dengan lebih mudah.

Ia membolehkan pengguna menempah penginapan serta mendapatkan maklumat mengenai tarikan utama di sekitar Kuala Lumpur.

Selain itu, VisitKL turut menyenaraikan acara dan program yang akan berlangsung serta memberikan panduan penggunaan pengangkutan awam di bandar raya ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata aplikasi tersebut adalah kesinambungan kepada portal VisitKL yang sudah sedia ada sebagai platform digital utama bagi mempromosikan pelancongan di ibu kota.

“Aplikasi dan portal ini bukan hanya untuk pelancong, tetapi juga untuk pemain industri serta masyarakat setempat dalam mengakses maklumat berkaitan pelancongan.

“Ini juga sebahagian daripada inisiatif DBKL untuk memastikan Kuala Lumpur bersedia menerima kedatangan pelawat, terutama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN dan Kempen Visit Malaysia 2026,” katanya ketika berucap melancarkan aplikasi itu di Mayor’s Courtyard, Jalan Tangsi.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Mohamad Hamim dan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Naquib Hamdan.

Maimunah turut memaklumkan bahawa DBKL kini sedang merangka Pelan Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur 2040 yang akan menjadi hala tuju pembangunan produk dan perkhidmatan pelancongan di bandar raya ini.

“Kami menerima maklum balas daripada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, yang mahu Kuala Lumpur menjadi hab pelancongan dengan penekanan kepada warisan tempatan dan seni.

“Kami merancang untuk mengadakan sesi libat urus bersama MOTAC serta pemain industri bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa DBKL kini bekerjasama dengan Khazanah Nasional Bhd dan anak syarikatnya, Think City, dalam usaha memperindah serta menyuntik elemen kebudayaan di lokasi tarikan pelancong di Kuala Lumpur.

“Kami bukan sekadar mencantikkan bangunan, tetapi juga menyediakan kandungan serta aktiviti yang mampu menghidupkan ruang-ruang ini.

“Bangunan yang cantik semata-mata tidak mencukupi untuk menarik pelancong  ia perlu disertakan dengan pengisian dan aktiviti yang menarik,” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas