Berita

APC suntik semangat warga JWP bekerja lebih gigih

ZALIHA (enam kiri,duduk) bergambar kenangan bersama penerima-penerima APC 2023/2024
- Diterbit 14 Jun 2024 3:10 PM MYT

USAHA gigih 48 kakitangan di Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) membuahkan hasil apabila masing-masing menerima Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) pada tahun 2023/2024 dalam satu majlis yang berlangsung di Bangi Resort Hotel baru-baru ini.

Berkongsi keterujaan menerima anugerah tersebut, Pegawai Belia dan Sukan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Mohd Hazriq Ikhwan Mohd Sharif, 45, berkata ini merupakan kali pertama dia memenanginya   selepas berkhidmat selama 11 tahun.

“Di MSWP, pencapaian diukur melalui setiap kejayaan persatuan sukan di peringkat negeri atau antarabangsa di mana saya dan rakan sejawat yang lain bertanggungjawab dalam membantu memudahkan urusan persatuan serta para atlet untuk mempersiapkan diri sebelum kejohanan. Jadi dengan APC ini sekali gus membuktikan bahawa kerja keras kami dihargai di samping kejayaan-kejayaan persatuan sukan.

“Saya rasa lebih bersemangat serta beriltizam untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik pada masa akan datang,” katanya yang mahu berkhidmat sehingga mencapai umur 60 tahun.

Sementara itu, Noor Diyana Mohamad Zamri, 35, menyifatkan anugerah yang diterima sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha lebih gigih pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada jawatankuasa yang terlibat dan pemilihan saya ini membuktikan yang pihak atasan nampak serta menghargai segala usaha saya dalam melaksanakan segala tanggungjawab dengan baik.

“Pastinya kejayaan ini bukan milik saya seorang, ia juga hasil kerjasama daripada rakan-rakan sejawat kerana kita bekerja sebagai satu pasukan.

“Untuk akan datang saya perlu bekerja dengan lebih teratur supaya dapat menjalankan beberapa tugasan dalam satu masa kerana tugas di bahagian komunikasi korporat ini agak mencabar,” ujarnya yang telah berkhidmat selama tiga tahun sebagai Pegawai Penerangan JWP.

Seorang lagi penerima, Mohd Rizal Ahmad Hariri, 50, melahirkan rasa syukur apabila terpilih sebagai salah seorang penerima APC bagi tahun 2023/2024.

“Saya rasa bertuah bukan sahaja sebab menerima APC tetapi di JWP ini kita dipertanggungjawabkan untuk menjaga tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan di mana ketiga-tiganya mempunyai demografi dan ekonomi yang berbeza.

“JWP ini berbeza kerana kementerian lain hanya berkhidmat untuk satu negeri dan dari segi jumlah pekerjanya ramai namun di sini kita mempunyai pekerja yang kecil sahaja namun perlu menjaga tiga negeri. Ia merupakan satu cabaran yang menarik buat saya untuk berkhidmat di sini,” ujarnya yang merupakan Ketua Akauntan di JWP.

Tambahnya, anugerah ini sudah pasti akan menjadi pendorong kepada dirinya dan rakan-rakan yang lain untuk bekerja dengan lebih gigih pada masa hadapan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa turut menyampaikan Sijil Penghargaan Pesara kepada tiga orang pesara bersempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Agensi Tahun 2023/ 2024.

Bertemakan Prestasi Cemerlang Memacu Wilayah Persekutuan Sejahtera, penerima anugerah diberikan Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan hadiah prestasi wang tunai bernilai RM1,000 manakala bagi pesara yang bersara wajib dan pilihan masing-masing menerima sijil serta wang tunai berjumlah RM600 dan cenderamata sumbangan Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas