Lensa

Apai si pakar bedah Hot Wheels

- Diterbit 1 Disember 2023 2:20 AM MYT

Oleh: SYUQQREE DAIN
Video: HASIF HALIMI

BERMULA dengan mengumpul kereta permainan jenama Hot Wheels berskala 1:64 telah memberi ilham kepada peminat tegar ini untuk mengubah suai koleksi itu supaya kelihatan lebih unik sekali gus menjadi salah satu sumber pendapatannya.

Menyediakan servis custom atau ubah suai Hot Wheels, menjual diecast, diorama dan display rack sejak tahun 2015, Hafeez Ramli, 38, atau lebih dikenali sebagai Apai telah menjual lebih 10,000 buah diecast manakala lebih 1,000 model kereta telah diubah suai selama lapan tahun di dalam bidang ini.

Terletak di Bangi Street Mall, Seksyen 15, Kedai Bisik Tepi Diecast Shop menjual beberapa model kereta seperti Japanese Domestic Market (JDM), Continental, Supercar, Muscle Car, Diorama dan tidak terkecuali diecast daripada filem-filem terkemuka seperti Fast & Furious, Batman, Barbie dan lain-lain.

Antara servis custom yang disediakan antaranya ialah penukaran cat, penambahan livery, penukaran tayar dan merendahkan ketinggian asal kereta dengan harga bermula serendah RM5 hingga RM90 bergantung kepada jenis pengubahsuaian.

Sesebuah diecast yang telah diubah suai mempunyai nilai yang sangat tinggi dan peminatnya tersendiri di mana kebiasaannya pemilik ini menginginkan kelainan pada model kereta milik mereka yang tidak berada di pasaran. Ikuti temu bual penuh Wilayahku menerusi kod QR yang disediakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas